ARTIKEL

Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli. Foto GHAZALI BUJANG

35 Prasekolah Baharu di Sarawak Manfaatkan 23 Ribu Kanak-Kanak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak 35 kelas prasekolah baharu akan ditambah pada 2026, menjadikan jumlah keseluruhan 1,552 kelas prasekolah beroperasi di 1,142 institusi pendidikan di negeri ini.

Penambahan itu sekali gus membolehkan sehingga 23,042 kanak-kanak yang berdaftar ditampung di prasekolah seluruh Sarawak.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata, jumlah tersebut belum termasuk murid yang lewat mendaftar untuk tahun ini.

“Pertambahan kelas prasekolah ini selaras dengan inisiatif Menteri Pendidikan untuk memperluas akses pendidikan prasekolah di seluruh negara, dan Sarawak tidak terkecuali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan BAP Negeri Sarawak Tahun 2026 di SMK Petra Jaya di sini, semalam.

Bagi Tahun Satu pula, seramai 32,709 murid akan memulakan sesi persekolahan, menyumbang kepada jumlah keseluruhan 208,583 murid sekolah rendah di 1,265 sekolah di seluruh negeri.

“Di peringkat menengah pula, seramai 190,019 pelajar akan meneruskan pembelajaran bermula daripada kelas peralihan hingga Tingkatan Enam Atas,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau dalam ucapannya memberi jaminan akan memberi tumpuan terhadap pelaksanaan Kurikulum Sekolah 2027, yang akan dimulakan dengan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) 2026.

“Langkah ini bagi memastikan kesinambungan serta persediaan murid menghadapi Kurikulum 2027 yang dirancang secara rapi.

“Pada masa sama, perhatian juga akan diberi kepada Pelan Pembangunan Pendidikan 2026-2035 yang akan dilancarkan pada Januari ini bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang tamat tahun lalu.

“Semua penambahbaikan terhadap struktur kurikulum ini wajar dan selari dengan tujuh Teras Fokus Utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menerajui sistem pendidikan negara,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai