KUCHING: Seorang lelaki tempatan ditahan bersama 37 kotak rokok pelbagai jenama bernilai RM80,000 disyaki tidak bercukai, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, lelaki berusia 29 tahun itu ditahan termasuk barangan dirampas dalam serbuan Op Kontraban di sebuah kilang di kawasan Muara Tabuan di sini.
“Serbuan itu dilakukan berdasarkan risikan dan maklumat orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahsmon, kesemua barang rampasan itu disyaki tidak bercukai dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek akan dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan sehingga lima tahun dan boleh didenda sebanyak RM100,000.
“Suspek juga direman di Mahkamah Majistret Kuching hari ini bagi meneruskan siasatan,” ujarnya.







