38 negara berkampung di Kuching

SEBANYAK 38 buah negara bakal menyertai Kejohanan Tenis Piala Ketua Menteri ke-35 yang akan dianjurkan di Kuching.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kejohanan ini merupakan siri Jelajah Tenis Dunia ITF yang akan berlangsung pada 10 hingga 15 Mac ini. “Antara negara yang akan menyertai kejohanan ini ialah Australia, Austria, Belgium, Kanada, China, Crotia, Hong Kong, Indonesia, Jepun dan sebagainya.

“Kita bakal menyaksikan seramai 75 orang peserta lelaki dan 75 orang peserta wanita yang menyertai kejohanan ini,” katanya. Beliau berkata demikian semasa sidang media Kejohanan Tenis Piala Ketua Menteri ke-35 di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya semalam.

Abdul Karim menjelaskan bahawa beliau meminta pihak penganjur kejohanan untuk memberitahu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkenaan dengan penyertaan peserta dari China dan Hong Kong memandangkan warga dari dua buah negara ini pernah disekat masuk ke Sarawak bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Saya berharap pihak penganjur akan berbincang dengan JPBN untuk mencari jalan bagaimana membawa peserta dari dua buah negara ini masuk ke Sarawak. “Peserta kejonanan dari China ada tujuh orang lelaki dan empat orang wanita. Manakala peserta dari Hong Kong ada seorang lelaki dan dua wanita,” jelasnya.

Beliau turut berharap agar kejohanan ini bakal mempromosikan pelancongan Sarawak kepada negara luar. “Salah satu pekara yang menarik apabila kita menganjurkan kejohanan antarabangsa seperti ini adalah para peserta bakal membawa ibu bapa, adik-beradik dan kenalan mereka ke sini.

“Selepas itu, mereka akan mengambil gambar dan menyebarkan kepada rakan-rakan mereka negara lain yang secara tidak langsung akan mempromosikan Sarawak,” terangnya.

Kejohanan yang berlangsung selama lima hari itu dianjurkan oleh Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA). Turut hadir Presiden SLTA Datuk Patrick Liew, Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak Dr. Ong Kong Swee dan yang lain.

Suara Sarawak