KHARTOUM: Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dan 59 yang lain cedera dalam serangan dron yang menyasarkan dua pasar tempatan di bandar Abu Zabad dan Wad Banda di Wilayah Kordofan Barat di Sudan, menurut sumber perubatan, saksi, dan badan komuniti tempatan.
Sumber perubatan di Abu Zabad memberitahu Xinhua pada Ahad bahawa serangan dron menyasarkan sebuah pasar tempatan di bandar itu kira-kira tengah hari Sabtu.
Hospital Pusat Abu Zabad, satu-satunya kemudahan kesihatan yang masih berfungsi di bandar itu, menerima mayat kira-kira 24 mangsa dan lebih 31 orang yang cedera, kata sumber tersebut.
Sementara itu, seorang saksi dari bandar Wad Banda, kira-kira 16 kilometer di barat Abu Zabad, berkata sebuah dron menyasarkan pasar utama bandar itu pada kira-kira 2 petang waktu tempatan pada Sabtu, mengorbankan 16 orang awam dan mencederakan 28 yang lain.
Sementara itu, Majlis Tertinggi Dar Hamar, sebuah badan komuniti tempatan di Wilayah Kordofan Barat, mengecam dalam satu kenyataan pada Ahad apa yang disebutnya sebagai “serangan dron khianat yang menyasarkan orang awam di pasar Wad Banda dan Abu Zabad pada petang Sabtu, hari ke-18 Ramadan”.
Majlis itu berkata serangan berkenaan membunuh lebih 40 orang awam, menyifatkan kejadian itu sebagai “jenayah ngeri dan pelanggaran nyata terhadap semua undang-undang dan norma kemanusiaan”.
Majlis itu mempertanggungjawabkan Angkatan Tentera Sudan atas serangan tersebut dan menggesa Majlis Hak Asasi Manusia PBB serta organisasi antarabangsa dan kemanusiaan untuk membuka siasatan segera dan bebas terhadap insiden itu serta mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Pertempuran antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces meletus pada April 2023 dan telah mengorbankan puluhnan ribu orang serta menyebabkan berjuta-juta yang lain kehilangan tempat tinggal di dalam Sudan dan merentasi sempadannya.
— BERNAMA-XINHUA






