40 orang terima pampasan tanah berjumlah RM644,413.00 di Daro

DARO: Seramai 40 orang penduduk kampung dari kawasan Semop dan Daro telah menerima cek pampasan tanah berjumlah RM644,413.00 bagi tujuan pembinaan Projek Jambatan Lassa Mukah bertempat di Dewan Serbaguna, Daro semalam.

Majlis penyerahan cek tersebut telah disempurnakan oleh Adun Daro Safiee Ahmad sambil disaksikan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.

Beliau berkata dengan pampasan tanah tersebut ia menunjukkan Kerajaan Sarawak tidak sewenang-wenangnya mengambil tanah untuk tujuan membuat sesuatu pembangunan, oleh itu katanya rakyat perlu memahami serta menyedari hasrat murni kerajaan dan memberi kerjasama dalam menyokong perlaksanaan kerja demi kebaikan pada masa depan.

“Sesungguhnya dengan pembinaan Jambatan Muara Lassa , ia sememangnya satu projek yang berimpak tinggi di kawasan ini, yang juga menjadi pelengkap kepada jalan pesisir di Sarawak, sebelum ini penduduk di sekitar hanya menyeberangi sungai dengan hanya menggunakan feri muara Batang Lassa dari Daro ke Pulau Bruit.

“Pembinaan Jambatan sepanjang 2.43 kilometer ini telah bermula Mac lalu dan dijangka siap dalam tempoh empat tahun dengan kos RM597.58 juta, bakal memberi manfaat khasnya membuka peluang pekerjaan kepada semua penduduk sekitar,” katanya di sini semalam.

Safiee Ahmad menyampaikan cek pampasan tanah kepada semua 40 penduduk kampung yang terlibat di Dewan Serbaguna, Daro semalam.

Beliau turut menasihatkan juga kepada semua penerima pampasan tersebut supaya menggunakan duit berkenaan untuk tujuan yang baik.

Lokasi tanah yang menerima pampasan tersebut ialah Kampung Badong, dan Kampung Kut Daro dengan keluasan tanah ialah 34.51 ekar.

Dalam perkembangan sama, turut diadakan majlis penyampaian sijil lantikan kepada ketua masyarakat dan ketua kaum kepada 10 orang baru yang memikul tanggungjawab sejak Julai lalu.

Safiee juga menasihatkan kepada semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum yang baharu agar menjadi lebih bertanggungjawab dalam memikul amanah yang telah diberikan kepada mereka.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Daro Bujang Rahman Seli, wakil Pegawai Daerah Matu Nordiana Mahsen, Penguasa Tanah dan Survei Jabatan Tanag dan Survei Bahagian Mukah Monaliza Ismail, Pemanca Bujang Razeli, ketua-ketua Jabatan dan kaunselor-kaunselor Daerah Matu dan Daro.

Safiee Ahmad merakamkan foto berkumpulan dengan semua penduduk kampung yang menerima cek pampasan tanah dan semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum di di Dewan Serbaguna, Daro semalam.