MUKAH: Program Mukah Christmas Fun Run sempena Christmas Festival Parade di Dataran Pehin Setia Raja mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar.
Program yang bermula seawal 6.50 pagi tersebut mendapat sekitar 400 penyertaan bagi kategori larian sejauh 5 kilometer (km) dan 3km.

Timbalan Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib hadir menyempurnakan pelepasan program tersebut sekali gus menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Bagi kategori Terbuka Lelaki, Syed Adam Hail Syed Saiful Akmal muncul juara, diikuti naib juara oleh Richard Leo Wilibrode dan tempat ketiga milik Muhammad Hazzeri Wahab.

Kategori Terbuka Wanita pula disandang oleh Nur Azatul Hanim Jeffren, naib juara oleh Nurul Aleesya Damia Aminan dan tempat ketiga milik Amelia Sulee.
Manakala, juara bagi kategori Veteran Lelaki dimenangi oleh Fernandez Sunsick Udeh, Kushairi Julaihi di tempat kedua dan tempat ketiga milik Zamzami Ubat.

Kategori Veteran Wanita pula dimenangi oleh Angela Felix sebagai juara, Bibiana Tanin selaku naib juara dan Farida Joll di tempat ketiga.
Kesemua kategori tersebut membawa pulang hadiah wang tunai RM500 untuk juara, RM300 bagi tempat kedua dan RM200 untuk tempat ketiga.

Sebagai tanda sokongan penganjuran program sempena Christmas Festival Parade Mukah, Hanifah turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM75,000 bagi menjayakan pelbagai aktiviti yang dirancang.
Beliau menyambut baik penganjuran program seumpama ini kerana ia bukan sahaja memupuk kesedaran kepentingan kesihatan, malah selari dengan agenda negara dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat serta keharmonian masyarakat majmuk.






