400,000 terima pakaian seragam

BINTULU: Seramai 320 pelajar dari dua sekolah menengah dan 11 sekolah rendah di kawasan Dun Jepak menerima bantuan pakaian seragam sekolah dari pada Yayasan Sarawak, semalam.

Bantuan untuk sesi persekolahan 2019 itu disampaikan oleh Menteri Di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) yang juga Adun Jepak Datuk Talib Zulpilip di Dewan Sri Teratai SK Kampung Baru, di sini. Talib berkata, bantuan pakaian seragam itu adalah inisiatif bijak Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak membantu pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

Beliau berharap bantuan ini dapat meringankan beban ibu bapa sekali gus mengelakkan anak mereka tercicir dari persekolahan. Malah, Adun Jepak itu turut berharap bantuan seperti ini diteruskan untuk membantu memperkasakan pendidikan di negeri ini. Terdahulu wakil Pengarah Yayasan Sarawak, Ellen @ Maniam Engang berkata, Kerajaan Sarawak membelanjakan sebanyak RM4 juta setahun untuk melaksanakan program tersebut.

Tahun ini (2019), katanya, Kerajaan Sarawak menerusi Yayasan Sarawak meluluskan 19,000 baucar pakaian seragam dengan setiap penerima menerima baucar bernilai RM200.

“Setiap penerima bantuan diberikan baucar bernilai RM200 untuk membolehkan mereka mendapatkan pakaian seragam sekolah di empat kedai terpilih, katanya. Sejak dilaksanakan pada 2000, seramai 400,000 pelajar di negeri ini mendapat manfaat program itu.