ARTIKEL

Skuad Harimau Malaya B-15 pada Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 di Baku, Azerbaijan. Foto: Malaysia NT

Harimau Malaya B-15 terbaik ASEAN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Harimau Malaya Bawah 15 Tahun (B-15) muncul sebagai pasukan terbaik Asia Tenggara selepas menamatkan kempen Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 di kedudukan ke-56 daripada 189 pasukan di Baku, Azerbaijan, semalam.

Skuad kendalian P. Maniam turut mencipta pencapaian tersendiri apabila menjadi satu-satunya wakil ASEAN yang berjaya menembusi Divisyen B (Tier B), sekali gus mengatasi Indonesia, Thailand dan Vietnam yang masing-masing menduduki tangga ke-72, ke-77 dan ke-82 keseluruhan.

Skuad Harimau Malaya B-15, pasukan terbaik Asia Tenggara, menamatkan saingan Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 di kedudukan ke-56 daripada 189 pasukan.

Menurut hantaran rasmi Malaysia NT, skuad muda negara menamatkan kempen di kedudukan ke-56 selepas tewas 0-2 kepada Lubnan dalam aksi penentuan tempat ke-55 dan ke-56 di Kompleks Pertandingan Hovsan, semalam.

“Dua jaringan Lubnan pada minit ke-16 dan ke-35 memastikan wakil Asia Barat itu meraih kedudukan ke-55.

“Kekalahan itu menyaksikan Harimau Malaya B-15 terpaksa berpuas hati di tangga ke-56, namun kedudukan berkenaan tetap menjadi pencapaian terbaik dalam kalangan pasukan Asia Tenggara yang mengambil bahagian,” kata hantaran tersebut, hari ini.

Bagi skuad kendalian P. Maniam, pengalaman berdepan pasukan daripada pelbagai benua itu menjadi pendedahan penting untuk meningkatkan kemampuan teknikal, kematangan permainan dan daya saing pemain muda negara.

“Kedudukan serta pencapaian sebagai wakil ASEAN terbaik ini turut memberikan asas positif kepada pembangunan bola sepak akar umbi negara dalam usaha melahirkan generasi pemain yang mampu bersaing di pentas antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Pada peringkat Kumpulan H, anak buah P. Maniam terlebih dahulu mempamerkan prestasi konsisten dengan merekodkan tiga kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan untuk mengumpul 10 mata.

Keputusan itu membolehkan Malaysia muncul naib juara kumpulan, sekali gus mengesahkan kemaraan ke kelompok B yang menghimpunkan pasukan di kedudukan ke-33 hingga ke-64 kejohanan.

Bagaimanapun, saingan pada peringkat seterusnya menyaksikan Harimau Malaya B-15 berdepan cabaran lebih sengit apabila perlu bersaing dengan pasukan daripada pelbagai benua yang memiliki corak dan pendekatan permainan berbeza.

Sebelum aksi terakhir menentang Lubnan, skuad negara turut menewaskan Jamaica 4-2 dalam pusingan penentuan kedudukan ke-49 hingga ke-64 sebelum tewas 1-3 kepada China.

Malaysia kemudian terlepas peluang memburu kedudukan lebih tinggi selepas tewas 4-5 kepada Qatar menerusi penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Sementara itu, Indonesia muncul pasukan kedua terbaik ASEAN selepas menamatkan kejohanan di kedudukan ke-72, diikuti Thailand di tangga ke-77 selepas menewaskan Jepun 4-0 dalam perlawanan terakhir.

Vietnam pula menduduki tempat ke-82 meskipun merekodkan enam kemenangan sepanjang kejohanan, jumlah tertinggi dalam kalangan wakil Asia Tenggara.

Kejohanan edisi sulung anjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang berlangsung dari 24 hingga 30 Oktober itu menggunakan format lapan sebelah dengan setiap perlawanan dimainkan selama 40 minit.

Sebanyak 932 perlawanan berlangsung sepanjang kejohanan berkenaan dan 4,505 gol dihasilkan, manakala 187 daripada 189 pasukan berjaya mencatat sekurang-kurangnya satu kemenangan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

LCDA bina 1,410 rumah mampu milik di Sarawak

SPAOH: Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dipertanggungjawabkan membina 1,410 unit rumah mampu milik di seluruh Sarawak dengan kos keseluruhan RM524.9 juta. Pengurus Besarnya, Datuk