KUCHING: Sebanyak 41 projek pembangunan giat dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, merangkumi 36 pembinaan jalan raya, tiga jambatan dan dua bangunan yang dijangka siap pada tahun ini.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia merupakan sejumlah 481 projek bernilai RM3.39 bilion di bawah lima agensi pembangunan utama negeri.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 110 projek siap, 90 projek sedang dalam pembinaan dan 281 projek masih di peringkat prakontrak.
“Kesemua projek tersebut dilaksanakan Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA), Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) dan Agensi Pembangunan Terkoordinasi Greater Kuching (GKCDA),” katanya.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, JKR Sarawak juga giat melaksanakan sejumlah 500 projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melibatkan peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM42.2 bilion, setakat April lalu.
“Daripada sejumlah projek tersebut, sebanyak 218 projek siap dilaksanakan, 122 lagi sedang dalam pembinaan dan 160 projek berada dalam peringkat prakontrak.
“Pencapaian ini menunjukkan kemajuan yang positif, dengan peningkatan sebanyak 15 projek siap dan 24 projek baharu memulakan pembinaan, berbanding laporan sebelumnya pada November 2024,” ujarnya.
Tegasnya, ia jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memacu pembangunan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri, sekali gus meningkatkan mobiliti dan aksesibiliti antara kawasan bandar dan luar bandar.
Beliau berkata, ia merangkumi pelbagai sektor utama termasuk sejumlah 301 projek jalan bernilai RM28.03 bilion, 70 projek jambatan (RM5.76 bilion), 104 projek bangunan (RM3.68 bilion), 23 struktur sungai (RM4.42 bilion) dan dua lapangan terbang (RM350.82 juta).
“Dengan Indeks Prestasi Jalan (RMI) kini berada pada paras 83.04 peratus, JKR Sarawak sedang melaksanakan langkah-langkah peningkatan bagi memastikan kualiti jalan raya terus terjaga, terutamanya bagi mengatasi kerosakan teruk di beberapa kawasan.
“Tahun ini, sebanyak RM500 juta diluluskan di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi penyelenggaraan jalan, yang menunjukkan peningkatan daripada RM495 juta yang diperuntukkan pada tahun lalu,” tambahnya.



