TANJONG MANIS: Sebanyak 41 sekolah di kawasan Parlimen Tanjong Manis bakal menerima TV pintar 65 inci daripada Pusat Khidmat Tanjong Manis bagi menyokong pembelajaran digital.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Datuk Ir Yusuf Abd Wahab berkata, setiap sekolah akan menerima satu atau dua unit bergantung kepada jumlah pelajar dan keperluan masing-masing.
Katanya, 25 sekolah menerima sumbangan menerusi Fasa 1, manakala baki 16 sekolah akan menerima sumbangan dalam Fasa 2 sebelum penghujung tahun ini.
Menurutnya, kemudahan itu membolehkan guru menggunakan bahan pengajaran digital, video interaktif dan aplikasi pembelajaran bagi meningkatkan minat serta tumpuan murid.
Setakat ini, dua sekolah iaitu SK Sebayang dan SK Mupong telah menerima sumbangan berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pelaksanaan konsep Digital Classroom.






