BINTULU : Seramai 42 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menerima insentif pendidikan daripada Jawatankuasa Pengurusan Reruai Penjaja Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2026 sebagai penghargaan atas pencapaian akademik mereka serta galakan untuk terus melakar kejayaan pada masa hadapan.
Inisiatif tersebut mencerminkan keprihatinan komuniti setempat ke atas pembangunan pendidikan dan modal insan selaras dengan usaha melahirkan generasi muda yang berilmu, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Reruai Penjaja BIKF 2026, Pandi Suhaili berkata, sumbangan berkenaan diberikan sebagai tanda penghargaan ke atas usaha gigih para pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang hasil disiplin, komitmen dan sokongan berterusan daripada keluarga serta warga pendidik.

Menurutnya, walaupun nilai sumbangan yang diberikan tidak seberapa, namun ia diharap mampu menjadi pemangkin semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kerjaya.
“Pendidikan merupakan asas penting dalam membentuk masa depan generasi muda. Kejayaan yang dicapai oleh para pelajar hari ini perlu diraikan kerana mereka ialah aset berharga yang bakal menerajui pembangunan masyarakat dan negara pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyerahkan sumbangan insentif pendidikan tersebut kepada Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili untuk disalurkan kepada 42 pelajar cemerlang terbabit.
Pandi turut menjelaskan bahawa pelibatan Jawatankuasa Pengurusan Reruai Penjaja BIKF 2026 dalam program tanggungjawab sosial itu selaras dengan semangat kebersamaan yang diterapkan menerusi penganjuran BIKF yang bukan sahaja mempromosikan budaya dan pelancongan, malah menggalakkan pelibatan komuniti dalam pembangunan sosial.





