KUCHING: Hujan lebat yang melanda sejak dua hari lalu telah mengakibatkan kenaikan paras air di beberapa kawasan rendah, dekat sini.
Hasil pemantauan kawasan risiko banjir di sekitar kawasan Kuching oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuching mendapati kawasan Kampung Rantau Panjang telah dinaiki air pada paras tiga kaki.
Justeru, sebanyak enam buah rumah yang melibatkan 43 orang penduduk terjejas bagaimanapun tiada sebarang proses pemindahan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dilakukan setakat ini.
Manakala, keadaan di kawasan Kampung Sinar Budi Baru masih lagi dalam keadaan terkawal dengan paras air yang semakin menurun dan laluan di jalan utama masih dapat dilalui.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai perkembangan kawasan yang dilanda banjir boleh menghubungi nombor 082-252940 atau 082-252941 untuk tindakan segera.



