EMPAT puluh tujuh hari.
Itulah tempoh yang dilalui anak Orang Asli, Miksudiar Aluj, ketika sesat di dalam hutan Pos Tohoi, Gua Musang Kelantan pada tahun 2015.
Walaupun lebih sedekad telah berlalu, pengalaman tersebut masih meninggalkan kesan yang mendalam dalam hidupnya.
Dalam laporan berita nasional baru-baru ini, Miksudiar mengakui dia masih bermimpi tentang kejadian itu dan tidak pernah kembali ke hutan kerana trauma yang ditanggung.
Ketika berusia 11 tahun, dia dan beberapa rakan hilang di kawasan hutan tersebut sebelum ditemukan selamat selepas 47 hari bersama seorang lagi rakannya, Norieen Yaakob.
Namun, lima rakan mereka yang lain tidak bernasib baik apabila ditemukan meninggal dunia selepas berhari-hari berjuang untuk terus hidup di tengah-tengah hutan.
Lebih menyayat hati, Miksudiar pernah menceritakan dia sendiri melihat beberapa rakannya meninggal dunia di hadapan mata ketika mereka berjuang untuk meneruskan hidup.
Sepanjang tempoh kehilangan itu juga Miksudiar mendedahkan pernah mendengar suara individu yang mencarinya, namun tidak dapat melihat mereka.
Walaupun operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan, dia tidak pernah bertemu pasukan penyelamat atau penduduk kampung yang mencari mereka.
Jadi dapatkah anda bayangkan berada sendirian di tengah-tengah hutan selama berminggu-minggu tanpa mengetahui arah untuk pulang?
Tiada talian telefon, tiada penunjuk arah dan tiada kepastian sama ada bantuan akan tiba.
Semasa kecil, saya dan sepupu sering merayau di kawasan hutan berhampiran kampung untuk mencari buah-buahan liar. Ketika itu ia kelihatan seperti satu pengembaraan yang menyeronokkan.
Apabila dikenang semula hari ini, saya menyedari bahawa tersesat di dalam hutan bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan.
Berbalik semula kisah Miksudiar, ia kembali menjadi perhatian apabila pendaki wanita, Jaslinda Saludin ditemukan selamat selepas dilaporkan hilang baru-baru ini.
Walaupun kedua-dua kes berlaku dalam keadaan berbeza, ia membawa mesej yang sama. Dalam sekelip mata, laluan yang kelihatan biasa boleh menjadi asing.
Kes Jaslinda menunjukkan bahawa risiko tersesat tidak hanya berlaku kepada kanak-kanak atau mereka yang kurang pengalaman. Dalam keadaan tertentu, sesiapa sahaja boleh kehilangan arah walaupun berada di laluan yang kelihatan biasa.
Pengalaman Miksudiar juga menunjukkan bahawa cabaran sebenar apabila seseorang tersesat bukan sekadar soal mencari makanan atau tempat berlindung.
Yang lebih sukar ialah berdepan ketakutan, kesunyian dan ketidakpastian yang berpanjangan. Dan kisah seperti ini mungkin kedengaran luar biasa, namun hakikatnya ia bukanlah sesuatu yang jarang berlaku.
Setiap tahun, ada sahaja laporan mengenai pendaki, pemburu, pencari hasil hutan atau pengunjung yang tersasar daripada laluan dan terpaksa berdepan keadaan yang tidak pernah mereka bayangkan.
Fenomena itu bukan hanya berlaku di negara kita tetapi di seluruh dunia, iaitu pelbagai kisah kehilangan di kawasan hutan dan pergunungan direkodkan saban tahun.
Saya masih ingat lagi berita antarabangsa yang melaporkan tragedi empat kanak-kanak Colombia yang terselamat selama 40 hari di hutan Amazon selepas pesawat yang mereka naiki terhempas pada Mei 2023.
Lesly Jacobombaire Mucutuy yang ketika itu berusia 13 tahun menjaga tiga adiknya selepas kematian ibu mereka dalam nahas tersebut. Mereka hidup di tengah-tengah hutan Amazon yang terkenal sebagai antara kawasan paling mencabar di dunia.
Tetapi berbekalkan pengetahuan yang diajar oleh ibu mereka, kanak-kanak itu mencari buah-buahan yang selamat dimakan, menangkap ikan dan berlindung daripada cuaca serta ancaman hidupan liar.
Mungkin ramai menganggap kejadian itu sebagai satu keajaiban. Namun di sebalik keajaiban tersebut, hakikatnya ilmu dan ketenangan menjadi penentu kelangsungan hidup.
Lesly tidak mempunyai telefon satelit, alat navigasi moden atau bantuan luar. Namun dia mempunyai pengetahuan asas tentang hutan.
Dalam keadaan trauma selepas kehilangan ibu, dia masih mampu membuat keputusan yang membantu adik-adiknya terus bertahan sehingga ditemukan pasukan penyelamat.
Selain itu, kisah di Amazon juga membuktikan bahawa teknologi moden bukanlah jawapan kepada segala-galanya. Operasi mencari empat kanak-kanak tersebut melibatkan helikopter, anggota tentera dan pelbagai peralatan canggih.
Namun petunjuk yang membantu pencarian banyak diperoleh melalui pengetahuan masyarakat Orang Asli yang memahami selok-belok hutan berkenaan.
Mereka dapat mengenal pasti jejak kecil, kesan makanan yang ditinggalkan dan perubahan persekitaran yang mungkin tidak disedari orang lain. Pengetahuan tradisional yang diwarisi turun-temurun akhirnya menjadi pelengkap kepada teknologi moden.
Begitu juga di negara kita yang masih mempunyai kawasan hutan hujan tropika yang luas. Dalam banyak operasi mencari dan menyelamat, pengalaman penjejak hutan, penduduk tempatan dan komuniti Orang Asli membantu mempercepat pencarian.
Kisah Miksudiar, Jaslinda dan kanak-kanak Colombia turut berkongsi satu persamaan yang jarang diberikan perhatian, iaitu kesan psikologi selepas ditemukan.
Bagi kebanyakan mangsa, penyelamatan bukanlah penamat kepada segala-galanya. Trauma, ketakutan dan kenangan ketika berdepan kelaparan, kesunyian atau ketidakpastian boleh terus menghantui kehidupan mereka untuk tempoh yang panjang.
Jadi tidak hairanlah ramai yang pernah melalui pengalaman sesat di hutan mengakui kejadian tersebut mengubah cara mereka melihat kehidupan. Mereka belajar menghargai perkara yang sering dianggap biasa seperti makanan, air bersih, keluarga dan keselamatan.
Saya berpendapat, hutan juga mengingatkan bahawa manusia masih sebahagian daripada alam dan bukannya penguasanya.
Sesungguhnya, hutan tidak mengenal usia, latar belakang atau pengalaman.
Dalam keadaan tertentu, ia menguji ketahanan manusia. Namun pada masa sama, hutan juga mengajar tentang nilai ilmu, ketenangan dan harapan untuk terus bertahan.



