500 penghantar makanan e-hailing dibantu

KUALA LUMPUR: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Mobilepreneur 2.0 menyasarkan untuk membantu seramai 500 penghantar makanan e-hailing dengan maksimum pembiayaan tanpa faedah berjumlah RM10,000 seorang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, skim dengan peruntukan keseluruhan RM5 juta itu bertujuan untuk pembelian motosikal baharu dan modal pusingan bagi penghantar makanan e-hailing yang telah berdaftar dengan syarikat e-hailing.

“MEDAC melalui Tekun Nasional membuka peluang menjana pendapatan kepada golongan hilang pekerjaan akibat wabak Covid-19 untuk menjadi gig worker atau rider yang melibatkan anak muda yang memainkan peranan dalam pembangunan negara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Tekun Mobilepreneur di sini.

Seramai 48 penghantar makanan e-hailing berminat menyertai Tekun Mobilepreneur 2.0 dan lima permohonan telah diluluskan setakat ini.

Sebelum ini, Tekun Mobilepreneur 1.0 yang dilancarkan pada April lepas dengan nilai pembiayaan maksimum tanpa faedah sehingga RM2,000 bertujuan membantu penghantar makanan membaiki motosikal dan memasang aksesori.

Seramai 215 penghantar makanan telah diluluskan permohonan dengan nilai pembiayaan keseluruhan RM402,000.

Selain itu, Tekun Nasional juga akan menawarkan pembiayaan Skim Pemulihan Perniagaan Tekun mulai 13 Julai dengan pembiayaan mikro sehingga RM10,000 dengan kadar faedah 3.5 peratus setahun.

Dana sebanyak RM100 juta melalui pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) itu bertujuan membolehkan syarikat mikro memulihkan perniagaan dengan setiap pembiayaan akan diberi tempoh moratorium selama enam bulan.

Sementara itu, Wan Junaidi mencadangkan agar satu kajian dijalankan bagi membolehkan penghantar makanan e-hailing menubuhkan koperasi dan membentuk konsortium dengan syarikat ehailing.

“Jadi akhirnya mereka (penghantar makanan) tidaklah sepanjang hidup dia jadi seperti itu sahaja, dia akan jadi ahli koperasi dan bergerak mendapat keuntungan bersama,” katanya.

Beliau menambah, menerusi cara itu penghantar makanan terbabit dapat membeli perlindungan insurans peribadi dan tidak bergantung kepada insurans perlindungan kelompok yang disediakan syarikat e-hailing. – Bernama