KUCHING: Jawatankuasa Perubatan Sarawak (SMC) dijangka mula memproses permohonan pendaftaran pengamal perubatan yang ingin berkhidmat di negeri ini menjelang Januari 2026.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, ketika ini Sarawak mempunyai 27,255 petugas kesihatan kerajaan termasuk 1,838 yang berkhidmat secara kontrak daripada keseluruhan 30,523 jawatan yang diluluskan.
“Daripada jumlah jawatan diluluskan itu, sebanyak 5,106 masih belum diisi. Bagi jawatan doktor, terdapat 930 kekosongan manakala jururawat pula mencatatkan sejumlah 2,300 kekosongan.
“Jika dibandingkan dengan nisbah doktor kepada populasi peringkat kebangsaan, Sarawak masih kekurangan sebanyak 1,871 doktor seperti yang dibangkitkan pada minggu lalu.
“Adakah rakyat Semenanjung begitu sakit sehingga memerlukan begitu ramai doktor atau rakyat Sarawak terlalu sihat sehingga hanya memerlukan begitu sedikit doktor?” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas usaha menilai keperluan tenaga kerja di tujuh daripada 23 hospital sedia ada di Sarawak baru-baru ini.
“Hasil penilaian tersebut menekankan keperluan tambahan seramai 11,127 jawatan pelbagai kategori, termasuk 1,567 jawatan doktor baharu dan 4,881 jawatan jururawat baharu.
“Ia mencerminkan komitmen berterusan kita dalam memperkukuhkan sistem kesihatan demi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak,” jelasnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, Jabatan Kesihatan Sarawak menerima peruntukan sebanyak RM2.96 bilion bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM505.3 juta bagi pembangunan untuk tahun 2025 daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Peruntukan ini meliputi perbelanjaan operasi, pembangunan modal insan, kerja-kerja naik taraf kecil dan pembaikan fasiliti kesihatan serta perkhidmatan sokongan hospital dan klinik termasuk perolehan peralatan perubatan,” katanya.
Menyentuh mengenai autonomi kesihatan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof atas peranan penting dalam menubuhkan pasukan khas melibatkan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.
“Antara perkara dibincangkan di bawah MA63 ialah penyerahan kuasa mengawal selia fasiliti dan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta yang sebelum ini di bawah bidang kuasa Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) kepada Jabatan Kesihatan Sarawak.
“Perkara ini telah dipersetujui sebelum ini namun kini sedang diteliti semula oleh KKM,” ujarnya.


