KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi meletakkan sebanyak 54 cadangan inisiatif spesifik dalam permohonan Bajet 2024.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, cadangan terbabit antara perkara penting yang telah diambil kira daripada pemegang taruh, penjaja, koperasi, usahawan mikro, kecil dan sederhana.
“Tahun ini (Bajet 2023) kita dapat RM732 juta dan selepas mengambil kira input daripada pelbagai pemegang taruh di seluruh negara.
“Kementerian telah tampilkan 54 cadangan inisiatif dengan jumlah permohonan bajet yang lebih besar daripada sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media selepas melancarkan majlis perasmian kampus ketiga cawangan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) di bangunan Sarawak Plaza, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan berapa jumlah sebenar permohonan peruntukan sebaliknya yakin jumlah diperoleh pada Bajet 2024 nanti adalah lebih baik.
“Hanya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja yang tahu berapa yang akan disalurkan kepada kementerian, tapi kita yakin akan dapat lebih baik daripada jumlah yang telah diluluskan dalam Bajet 2023,” katanya.
Menurutnya, antara perkara yang ditekankan dalam cadangan inisiatif Bajet 2024 ialah mengembangkan program di bawah agensi INSKEN.



