KUCHING: Sebanyak RM226.8 juta disalurkan untuk pelbagai bentuk bantuan bagi memperkukuh jaminan sosial masyarakat dalam menghadapi cabaran sosioekonomi semasa.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia membabitkan Bantuan Kewangan Kebajikan, Bantuan Kesihatan Bersasar dan Bantuan Mangsa Bencana.
“Kerajaan menyedari cabaran kelangsungan hidup yang dihadapi oleh golongan rentan, terutama akibat peningkatan kos sara hidup.
“Sehingga 31 Oktober lalu, 55,684 individu menerima pelbagai jenis bantuan kewangan kebajikan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM215 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan bagi kementeriannya di Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Sementara di bawah Bantuan Kesihatan Bersasar jelasnya, dalam tempoh yang sama, RM4.5 juta dibelanjakan bagi memberi manfaat kepada 110 pesakit di bawah Skim Bantuan Alat Tiruan/Sokongan.
“Manakala 184 pesakit di bawah Skim Bantuan Pesakit Buah Pinggang dan 52 pesakit di bawah Skim Bantuan Perubatan.
“Bagi bantuan kepada mangsa bencana pula, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak menyalurkan RM7.3 juta bantuan bencana kepada 153,981 mangsa.
“Daripada jumlah tersebut, yang tertinggi ialah bantuan bekalan air bersih sewaktu kemarau, iaitu RM3.8 juta disalurkan untuk manfaat 117,633 orang di negeri ini,” ujarnya.
Bagi menghadapi Monsun Timur Laut, Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat itu menyatakan, kerajaan menyediakan stok bantuan bencana di kesemua depoh, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian dan pengkalan hadapan bencana.
Menyentuh program pembangunan ekonomi dalam memperkasakan penerima bantuan dan ahli isi rumah tahun ini, Fatimah memberitahu kerajaan memperuntukkan RM1.5 juta untuk membantu 300 penerima bantuan bulanan kebajikan yang produktif.





