KUCHING: Kira-kira 600 paket bubur lambuk diagihkan kepada orang awam oleh Kolej Sidma Sarawak sempena Program Ihya Ramadan 2023.
Pengerusi Kolej Sidma Sarawak Marzuki Umi memberitahu, pengagihan ini dibuat sempena menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak tahun ini.
“Penganjuran program ini di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelaiar (HEP) Kolej Sidma bagi berkongsi rezeki bersama-sama masyarakat di kawasan sekitar.

“Ia merupakan program wajib setiap kali menjelang bulan Ramadhan bagi Kolej SIDMA Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Pengagihan Bubur Lambuk Sempena Program Ihya Ramadan 2023 di Kolej Sidma, di sini, hari ini.
Sementara, Pengurus HEP Jumiah Matino mendedahkan terdapat program susulan turut dilaksanakan selain pengagihan bubur lambuk di sini.
“Program lain termasuk kutipan infaq turut diadakan bertujuan untuk menghulurkan sedekah dalam pelbagai bentuk contohnya seperti barangan keperluan asas dan wang tunai,” ujarnya ringkas.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Nandy Marlina Saar dan Pengarah Kewangan Sidma Kolej Hanizah Mohidin.



