BINTULU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menerusi Unit Penguatkuasa Imigresen Bintulu telah menjalankan operasi ‘Ops Sapu’ di sekitar bandar Bintulu bagi membanteras kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) semalam.
Operasi yang melibatkan seramai 34 anggota ini memeriksa 80 individu di beberapa lokasi strategik sekitar bandar berkenaan.
Hasil operasi, 63 individu berjaya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Daripada jumlah itu, 42 lelaki dan 21 wanita ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta gagal mengemukakan sebarang bukti kelulusan tinggal di negara ini.
JIM dalam kenyataannya menegaskan bahawa pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang imigresen.
Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara.
JIM turut mengingatkan majikan agar tidak melindungi atau menggaji warga asing tanpa dokumen sah.
Mereka yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan undang-undang. — TVS





