ARTIKEL

Foto TVS

65 peratus peserta SYS kekal aktif, ada jana lebih RM80,000 sebulan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Lebih 65 peratus peserta program Sarawak Youth Startup (SYS) kekal aktif dalam perniagaan, dengan sebahagian menjana pendapatan bulanan melebihi RM80,000, sekali gus membuktikan keberkesanan inisiatif pembangunan usahawan belia di negeri ini.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat, berkata pencapaian itu mencerminkan impak positif program berkenaan dalam melahirkan usahawan muda berdaya saing serta mampu menjana pendapatan mampan.

“Sehingga kini seramai 425 peserta telah terlibat dalam program ini, dengan 275 peserta bagi Kohort 1 dan 150 peserta bagi Kohort 2,” katanya ketika ditemui pada Majlis Meet & Greet Aidilfitri SYStartup di Perkampungan Sukan Sarawak (SSV) di sini, malam tadi.

Beliau berkata, program berkenaan menjadi platform penting bagi menilai perkembangan peserta selepas menamatkan kursus intensif keusahawanan, selain mengenal pasti cabaran mereka.

“Ini merupakan program susulan bagi kita berjumpa semula dengan usahawan, menilai perkembangan mereka serta memahami permasalahan yang dihadapi supaya bantuan bersesuaian dapat disalurkan,” katanya.

Ripin memaklumkan program sama sebelum ini telah diadakan di Miri dan akan diperluaskan ke beberapa kawasan lain termasuk Bintulu, Sibu, Sri Aman dan Betong.

Mengulas lanjut, beliau berkata kementerian turut merangka pelbagai program turun padang bagi memperkasa keusahawanan belia, khususnya di luar bandar, termasuk pelaksanaan program Belia Go-Biz di Samarahan.

Selain itu, katanya, program Youth Entrepreneur Setup 3.0 akan memfokuskan kepada sektor pertanian dan penternakan di kawasan berpotensi.

“Program Youth Escape yang menggabungkan elemen sukan dan keusahawanan turut diperkenalkan bagi menarik minat lebih ramai belia menyertai bidang perniagaan,” katanya.

Bagi mencungkil bakat di peringkat pengajian tinggi, pertandingan Sarawak Youth Business Idea Competition dianjurkan dengan kerjasama UiTM Sarawak, melibatkan pelajar IPTA dan IPTS di seluruh negeri.

“Peringkat akhir pertandingan ini dijangka berlangsung pada Jun di SSV dan kita mahu melihat idea serta pelan perniagaan yang berpotensi untuk diketengahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ripin berkata sektor makanan dan minuman (F&B) masih mendominasi penyertaan usahawan muda, namun terdapat peningkatan dalam bidang teknologi, perkhidmatan dan pelancongan.

“Walaupun F&B paling ramai, kita galakkan usahawan meningkatkan kualiti produk, pembungkusan serta memanfaatkan pemasaran digital bagi meluaskan pasaran,” katanya.

Beliau menegaskan pembangunan usahawan belia merupakan antara fokus utama di bawah agenda PCDS 2030, dengan matlamat melahirkan lebih ramai pencipta pekerjaan dalam kalangan anak muda.

Tambahnya, kementerian kini bekerjasama dengan 46 agensi strategik termasuk Malaysia External Trade Development Corporation bagi membuka peluang pasaran lebih luas kepada usahawan, termasuk penyertaan dalam ekspo dan pameran perdagangan di dalam serta luar negara.

Beliau berkata beberapa inisiatif baharu sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan dalam masa terdekat bagi memperkasa lagi usahawan muda Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU