Judul buku: Pengurusan Jenazah
Penulis: Mohd Muhiden Abd Rahman
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun terbit: 2018 (Cetakan pertama), 2023 (Cetakan kedua)
Muka surat: 209
Harga buku: RM38.00
HUKUM menguruskan jenazah merupakan fardu kifayah ke atas setiap umat Islam dan bertanggungjawab untuk menyegerakan urusan jenazah sekiranya berlaku suatu kematian.
Buku Fiqh al-Hadith Syarah Bulugh al-Maram Pengurusan Jenazah ini merupakan huraian kitab Hadith Ahkam yang terkenal, iaitu Bulugh al-Maram min Adillah al-Ahkam, karya al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (m. 852 H). Penulis buku ini, Prof. Madya Dr. Mohd Muhiden Abd Rahman merupakan seorang penulis prolifik dalam bidang hadis.
Terdapat 66 hadis mengenai pengurusan jenazah yang disusun secara sistematik menggunakan bahasa yang mudah difahami di dalam buku ini.
Setiap hadis juga mengandungi terjemahan lengkap dan dapat dijadikan panduan lengkap kepada umat Islam.
Bab satu hingga bab 14 menceritakan mengenai hukum-hukum berkaitan jenazah.
Manakala, dua bab terakhir penulis menyelitkan mengenai 99 soalan yang sering ditanya mengenai jenazah dan pengenalan ringkas 80 perawi hadis.
Syariat pengurusan jenazah merupakan syariat yang telah lama wujud dari zaman Nabi Adam a.s. sehingga Nabi Muhammad SAW dan berterusan hingga ke hari ini.
Bermula daripada sejarah kematian manusia yang pertama di dunia ini, iaitu kematian anak Nabi Adam a.s. bernama Habil yang dibunuh oleh saudaranya Qabil yang disebabkan hasad dengki.
Lalu Allah SWT telah mengajar Qabil melalui perutusan dua ekor burung gagak.
METODE HADITHI
Penulis menghuraikan setiap hadis melalui metode hadithi.
Hadithi bermaksud huraian hadis berdasarkan pendekatan hadis dan bukan pendekatan fiqah.
Perbahasan hadis ini merangkumi keseluruhan matan hadis tanpa memfokuskan kepada persoalan hukum yang terdapat dalam matan hadis sahaja.
Pada setiap bab, penulis turut menghuraikan setiap kosa kata hadis bagi memudahkan pembaca memahami pengertian hadis dengan lebih jelas.
Metode ini juga merupakan metode yang selalu diguna pakai semasa menghurai dan mengistinbatkan hadis.
MUQARRANAH
Seterusnya, metode muqarranah atau komparatif.
Penulis membuat perbandingan antara dua pandangan atau lebih.
Selain daripada petikan pandangan ulama, perbandingan antara pendapat dan pandangan ulama termasuk pendapat mazhab yang kemudian akan ditarjih pendapat yang paling tepat berdasarkan hujah dan dalil yang paling kuat dan Sahih.
Penulis juga mengemukakan petikan ayat-ayat al-Quran dalam buku dalam perbahasan bagi memantapkan lagi hujah dan dalil bagi setiap isu dan persoalan yang dibangkitkan.
TEMA
Buku yang bertemakan kematian ini banyak memberi manfaat kepada pembaca selain dapat belajar mengenai pengurusan jenazah.
Antara manfaatnya termasuklah dapat menambah ilmu pengetahuan mengenai hadis dengan cara yang mudah dan ringkas.
Hal ini adalah kerana apabila kita terlibat dengan pengurusan jenazah, secara nalurinya kita akan berasa insaf serta menghayati makna sebenar di sebalik kematian seseorang.
Dalam masa yang sama, kita harus bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah SWT semasa kita di dunia.
TINJAUAN UMUM DAN REKOMENDASI
Buku ini sangat sesuai untuk semua peringkat umur kerana setiap huraian ada disertakan juga pengajaran bagi setiap hadis tersebut bagi memudahkan lagi kefahaman pembaca.
Di samping itu, buku ini memberi galakan kepada manusia untuk mengingati mati.
Apabila manusia selalu mengingati mati maka akan timbul rasa keinsafan dalam diri dan sentiasa bersedia menghadapi kematian.
Penulis juga menyelitkan mengenai tanda-tanda kematian seperti peluh dan keringat akan keluar pada dahinya untuk menggambarkan seseorang saat menghadapi sakaratulmaut. Ini juga merupakan simbolik penghapusan sisa-sisa dosa yang terdapat pada diri mereka.
Buku ini turut menghuraikan mengenai kewajipan yang patut dituruti dalam pengurusan jenazah termasuklah hukum menutup jenazah.
Apabila roh seseorang itu terpisah daripada jasad dan saat roh dicabut, pandangan mata akan memerhati ke arah roh pergi.
Jadi, buku ini juga membincangkan hadis mengenai hukum-hukum yang perlu dipatuhi saat menguruskan jenazah setelah berlakunya kematian.
Antaranya termasuklah hukum mengucup jenazah, galakan membayar hutang si mati, hukum memandikan jenazah, hukum mengapankan jenazah serta hukum suami memandikan isteri dan sebaliknya.
Secara keseluruhannya, buku ini dapat menjadi panduan bagi setiap umat Islam dalam menjalani kehidupan seharian kerana melalui pemahaman hadis yang baik, kita dapat menjadi seorang Muslim yang baik.



