MIRI: Kesalahan tidak memakai topi keledar merupakan kesalahan paling banyak dikesan dalam Op Motosikal yang merekodkan sebanyak 70 saman dikeluarkan di tiga lokasi sekitar bandar raya ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri itu melibatkan pemeriksaan 53 motosikal dan 64 individu, terdiri daripada 62 lelaki serta dua wanita.
Katanya, operasi selama enam jam dari 3.30 petang hingga 9.30 malam itu tertumpu di kawasan perumahan Taman Tunku, Taman Jelita dan Kampung Lusut.

“Operasi berkenaan bertujuan membanteras kegiatan samseng jalanan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya, selain menjejaskan kelancaran lalu lintas dan ketenteraman awam.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan trafik dilakukan dengan sebanyak 70 saman dikeluarkan atas kesalahan yang dikesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, selain tidak memakai topi keledar, antara kesalahan lain yang dikesan ialah menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah serta melakukan pengubahsuaian struktur kenderaan.
Kesalahan lain katanya termasuk mengubah suai ekzos sehingga menghasilkan bunyi bising, tidak memasang cermin sisi, tidak mempamerkan nombor pendaftaran serta menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan samseng jalanan kerana perbuatan itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Beliau turut mengingatkan penunggang motosikal supaya memastikan kenderaan masing-masing mematuhi spesifikasi yang ditetapkan dan tidak melakukan pengubahsuaian yang menyalahi peraturan.
Menurutnya, pematuhan terhadap undang-undang jalan raya penting bagi mengurangkan risiko kemalangan, selain memastikan keselamatan dan kelancaran lalu lintas.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam, khususnya kegiatan samseng jalanan.
“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan tersebut boleh disalurkan kepada IPD Miri atau balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.






