KUCHING: Seramai 14 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Op Tapis Khas yang dijalankan selama tiga hari di sekitar daerah ini, dari 25 hingga 27 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga berkata, operasi yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching itu turut membawa kepada rampasan sebanyak 6.49 gram bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran nilai keseluruhan RM705.
“Daripada 14 individu yang ditahan, seorang ditahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala empat lagi mengikut Seksyen 12(2) akta sama,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, sembilan individu selebihnya pula ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, operasi khas selama tiga hari itu berjaya menahan 14 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah, selain merampas bahan disyaki methamphetamine seberat 6.49 gram yang dianggarkan bernilai RM705,” katanya dalam satu kenyataan.
Alexson berkata, kejayaan operasi itu merupakan hasil risikan berterusan pihak polis serta kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) komited untuk terus membanteras kegiatan dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.
“Dadah merupakan musuh nombor satu negara dan usaha membanteras kegiatan ini memerlukan kerjasama berterusan daripada masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, Alexson menggesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah kepada pihak polis.
Maklumat katanya boleh disalurkan melalui talian hotline JSJN di 012-208 7222 atau hotline JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di 017-592 9211.






