ARTIKEL

JUARA... Barisan pemain New Bee dari Lubok Antu meraikan kejayaan menjuarai Kejohanan Bola Sepak Wanita Sembilan Sebelah Piala YB Roy Angau Gingkoi 2026 di Padang Bola Sepak Engkelili, Sabtu lalu.

New Bee Lubok Antu juara Bola Sepak Wanita Piala YB Roy 2026

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: New Bee dari Lubok Antu menjulang trofi kejuaraan Kejohanan Bola Sepak Wanita Sembilan Sebelah Piala YB Roy Angau Gingkoi 2026 selepas menewaskan Goal Digger FC dari Saratok 3-0 dalam aksi final di Padang Bola Sepak Engkelili, Sabtu lalu.

Kejohanan anjuran Kelab Bola Sepak Croc Legacy yang berlangsung pada 23 dan 24 Oktober itu menghimpunkan 12 pasukan membabitkan 180 pemain berdaftar, termasuk sembilan pasukan dari kawasan Parlimen Lubok Antu dan tiga pasukan jemputan dari Betong serta Saratok.

NAIB JUARA… Goal Digger FC dari Saratok.

Timbalan Presiden Croc Legacy FC, Jafson Sumping berkata, penganjuran kejohanan tersebut bertujuan menyediakan platform persaingan kepada pemain wanita, khususnya di kawasan luar bandar, untuk mengembangkan bakat dan meningkatkan kemahiran bola sepak.

“Kejohanan ini bukan sahaja mencungkil bakat baharu dalam kalangan pemain wanita, malah turut mengeratkan silaturahim dan menyemarakkan penglibatan wanita dalam sukan bola sepak,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

KETIGA… Selindung Wawasan dari Engkelili.

Menurutnya, penyertaan pasukan dari beberapa kawasan turut memberikan peluang kepada pemain menguji kemampuan masing-masing, selain membina hubungan antara komuniti bola sepak wanita di Sarawak.

Beliau berkata, pertandingan seumpama itu penting bagi memastikan pemain berbakat mendapat pendedahan melalui perlawanan kompetitif, sekali gus menggalakkan lebih ramai wanita menyertai sukan berkenaan.

NOMBOR TIGA…GD FT Sevenline dari Saratok

“Penganjuran ini menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu, meningkatkan kemahiran serta menggalakkan lebih ramai wanita melibatkan diri secara aktif dalam sukan bola sepak,” katanya.

RAKAM KENANGAN… Barisan pemain bola sepak wanita bergambar bersama pihak penganjur.

Jafson turut merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada semua pasukan yang mengambil bahagian serta pemain yang menerima anugerah individu atas pencapaian masing-masing.

AKSI… Ketua pasukan New Bee dari Lubok Antu.

Kemenangan itu membolehkan New Bee mengatasi cabaran 11 pasukan lain untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 berserta piala dan pingat, manakala Goal Digger FC menerima RM1,000, piala dan pingat selaku naib juara.

Sementara itu, GD FT Sevenline dari Saratok dan Selindung Wawasan dari Engkelili berkongsi tempat ketiga dengan masing-masing memperoleh RM500 berserta piala dan pingat, manakala Izdihar Syammimi Alwi menerima anugerah Pemain Terbaik kejohanan.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS) Engkelili, Bulan Melina.

Turut hadir Setiausaha PRS Bahagian Engkelili, Awang Said Awang Dollah; Kaunselor Skrang Hilir, Kristy Rennya Robert Kunyu; serta Presiden Croc Legacy FC, Macfarlane Beli.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU