PARIS: Pihak berkuasa Perancis mengesahkan kebakaran besar yang memusnahkan lebih 700 hektar kawasan hutan di selatan Perancis.
Insiden tersebut bukan sahaja mengaktifkan operasi kecemasan secara besar-besaran, malah memaksa penduduk tempatan dipindahkan demi keselamatan, lapor Anadolu Ajansi.
Titik permulaan kebakaran terbesar ini dikesan di bandar Beaufort yang terletak dalam wilayah Herault di pesisir Mediterranean, sebelum merebak ke wilayah Aude.
Menurut kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa, anggaran keluasan hutan yang terjejas dan musnah dijilat api setakat ini telah mencecah sekitar 700 hektar.
Angin kencang serta cuaca buruk menyebabkan api merebak ke bahagian timur laut Aude, sekali gus memaksa pihak berkuasa memindahkan sebahagian penduduk dari kampung Pouzols-Minervois dan Mailhac.
Lebih 280 anggota bomba, kira-kira 30 anggota “gendarmerie” Perancis, 11 pasukan khas pemadam kebakaran hutan, enam pesawat serta sebuah helikopter dikerahkan bagi memadamkan kebakaran.
Beberapa jalan di kawasan terjejas ditutup sebahagian, manakala penduduk dinasihatkan supaya mematuhi arahan perkhidmatan kecemasan.
Sementara itu, satu lagi kebakaran hutan tercetus pada Selasa di bandar Frejus, di wilayah Var.
Pihak berkuasa berkata, angin kencang turut memburukkan keadaan, yang telah memusnahkan kira-kira 30 hektar kawasan.
Hampir 200 anggota bomba dengan sokongan 73 kenderaan kecemasan, tiga pesawat pemadam kebakaran dan tiga helikopter dikerahkan ke lokasi.
Sebagai langkah berjaga-jaga, tiga tapak perkhemahan dipindahkan, manakala sebahagian penduduk ditempatkan sementara di dua buah sekolah. Sebahagian Jalan D37 turut ditutup.
Sebanyak 23 kebakaran sedang berlaku di selatan Perancis, menurut platform pemantauan kebakaran hutan “Feux de Foret”. – Bernama-Anadolu



