BINTANGOR: Lebih 700 peserta dari pelbagai daerah memeriahkan Larian SA’ATI Run 2026 sempena sambutan Hari Sarawak, sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan dan menggalakkan amalan gaya hidup sihat.
Program itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Menurut beliau, penganjuran SA’ATI Run bukan sekadar menyediakan ruang untuk aktiviti riadah, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim serta memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Sejak diperkenalkan pada 2023, SA’ATI Run terus mendapat sambutan menggalakkan. Penganjuran tahun ini membuktikan komitmen semua pihak untuk menjadikannya sebagai acara tahunan yang dinanti-nantikan,” katanya.
Kuong Hiing yang juga Pengerusi Parti SUPP Cawangan Bintangor berkata, sambutan memberangsangkan terhadap program itu mencerminkan sokongan masyarakat terhadap aktiviti yang memberi manfaat, khususnya dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan kecergasan.
Beliau turut mengajak rakyat Sarawak terus menghargai sejarah, keamanan dan kemajuan yang dikecapi, di samping mengekalkan semangat cintakan negeri serta memperkukuh perpaduan demi masa depan yang lebih baik.
Katanya, sambutan Hari Sarawak merupakan medan terbaik untuk mengenang perjalanan pembangunan negeri serta memperbaharui iltizam dalam mengekalkan Sarawak sebagai negeri yang aman, stabil dan harmoni.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pemuda dan Wanita SUPP Bintangor, SABERKAS Cawangan Bintangor, para penaja, sukarelawan, agensi berkaitan serta semua pihak yang menjayakan penganjuran program tersebut.






