MIRI: Operasi membanteras samseng jalanan di kawasan Taman Tunku di sini membawa kepada pengeluaran 71 saman terhadap 38 motosikal yang diperiksa dalam tempoh lima jam.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri itu dijalankan pada 16 Ogos lalu, dari jam 5 petang hingga 10 malam.
Menurutnya, operasi tertumpu di kawasan perumahan Taman Tunku, Jalan Taman Tunku dan Jalan Taman Jelita bagi mencegah aktiviti samseng jalanan yang boleh mengganggu kelancaran lalu lintas serta ketenteraman awam.
“Sepanjang operasi, seramai 45 lelaki dan tujuh perempuan diperiksa bersama 38 motosikal,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Alexson, hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan dan tindakan penguatkuasaan diambil dengan 71 saman dikeluarkan atas kesalahan yang dikesan.
Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk menunggang tanpa lesen memandu, pengubahsuaian struktur motosikal, pengubahsuaian ekzos sehingga menghasilkan bunyi bising, tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran dan penggunaan nombor pendaftaran ‘fancy’.
“Polis turut mengesan kesalahan teknikal lain yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan,” katanya.
Mohd Farhan menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti samseng jalanan yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang serta tidak melakukan pengubahsuaian kenderaan yang boleh menjejaskan aspek keselamatan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, tidak melakukan pengubahsuaian yang menyalahi spesifikasi asal kenderaan serta mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan boleh disalurkan kepada IPD Miri atau balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” jelasnya.



