KUCHING: Bengkel Latihan Pengacaraan 2.0, anjuran Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM Sarawak) dengan Kerjasama FINAS Borneo, melabuhkan tirainya dengan jayanya semalam.
Bengkel ini berlangsung selama tiga hari di sini untuk melatih peserta dalam seni pengacaraan profesional.
Selain itu, ia bertujuan meningkatkan keupayaan mereka dalam mengendalikan majlis rasmi mahupun tidak rasmi dengan keyakinan dan kemahiran komunikasi yang tinggi.
Program ini melibatkan penyertaan daripada sekurang-kurangnya 80 pegawai dari pelbagai agensi.
Ia termasuk Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Trienekens, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Petroleum Sarawak (PETROS), Majlis Daerah Lundu, Majlis Daerah Sri Aman, Jabatan Tanah dan Survei, Sarawak Cultural Village, Universiti UCSI, Wisma SABERKAS Management serta Unit Protokol Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPAN).
Bengkel ini sekali lagi menampilkan pengacara profesional terkenal dari Sarawak, Syerifah Farah Wan Taha, sebagai fasilitator utama.
Beliau memberikan panduan dan latihan praktikal kepada peserta, meliputi aspek kawalan emosi, teknik modulasi suara, etika komunikasi, serta cara berinteraksi dengan audiens.
Dalam ucapan penutupnya, Ahli Lembaga Pengarah AZAM Sarawak, Datuk William Nyigor, menyatakan rasa bangganya terhadap komitmen dan semangat peserta sepanjang program ini.
“Peranan seorang pengacara bukan sekadar untuk bercakap, tetapi untuk mencipta hubungan, menarik perhatian, dan meninggalkan kesan yang mendalam,” katanya.
“Saya percaya kemahiran yang diperoleh sepanjang latihan ini akan memberi manfaat besar kepada anda semua dalam kerjaya dan kehidupan.”
Ketua Penolong Pengarah FINAS Cawangan Sarawak, Encik Maffizan Saupie, pula menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada AZAM Sarawak kerana membuka ruang kolaborasi strategik yang amat bermakna.
“Peluang ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk merancakkan lagi usaha mempromosikan industri kreatif di Sarawak, sejajar dengan matlamat pembangunan sosioekonomi negeri,” katanya.



