KUCHING: Kira-kira 80 pelumba dijangka menyertai Perlumbaan Moto Gymkhana Negeri Sarawak 2025 yang dianjurkan buat julung kalinya hasil kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, hari ini.
Acara selama dua hari yang berlangsung di tempat letak kenderaan berhampiran Stadium Negeri Sarawak itu mempertandingkan empat kategori perlumbaan, iaitu skuter 350 cc, CUB Moped 185 cc, motosikal 250–500 cc serta motosikal 600 cc.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSC, Khairul Nizam Morshidi berkata, kejohanan berkenaan terbuka kepada peserta yang memiliki lesen perlumbaan dan menyasarkan penyertaan masyarakat tempatan dari seluruh negeri.
“Program ini adalah kerjasama antara SSC, Jabatan Belia dan Sukan serta Persatuan Motor Sports Sarawak. Kami menyediakan platform supaya mereka dapat melaksanakan pertandingan, dan itulah peranan sebenar kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program berkenaan di pekarangan tempat letak kenderaan berhampiran stadium tersebut, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Projek Perlumbaan Moto Gymkhana, Mohd Nadzrul Idzlan berkata, kejohanan kali ini menyasarkan penyertaan seramai 80 pelumba bagi semua kategori dipertandingkan.
Menurutnya, setakat pagi ini, sebanyak 20 penyertaan daripada peserta tempatan telah diterima.
“Setakat ini, seramai 20 peserta telah mengesahkan penyertaan. Syarat utama untuk menyertai kejohanan ini ialah peserta perlu memiliki lesen perlumbaan yang disahkan oleh Persatuan Motorsport Malaysia,” katanya.
Hari pertama program menyaksikan pendaftaran peserta bermula seawal jam 8 pagi, diikuti sesi latihan penyesuaian litar bagi kategori skuter 350 cc, Moped 185 cc, motosikal 250–300 cc dan 600 cc.





