KUCHING: Seramai 83 peratus kanak-kanak dan remaja di Malaysia dilaporkan berdepan ancaman dalam talian – suatu realiti membimbangkan yang menuntut perhatian menyeluruh daripada kerajaan, ibu bapa dan masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, statistik yang dikeluarkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) itu membimbangkan kerana hampir separuh daripada kanak-kanak Malaysia tidak tahu cara melindungi diri daripada ancaman media sosial.
“Sebenarnya kita memang bekerjasama dengan UNICEF dan beberapa kementerian lain seperti Kementerian Komunikasi dan Digital, KPDN, MCMC, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pendidikan turut sama membincangkan isu ini melalui Majlis Sosial Negara.
“Setiap kementerian memainkan peranan masing-masing untuk memastikan pendedahan kepada ancaman siber ini dapat dikurangkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching di Dewan Hikmah, hari ini.
Jelasnya, pada masa ini semua pihak memainkan peranan masing-masing bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada risiko dalam talian.
“Sebab itu, jika kita perhatikan di media sosial dan televisyen, terdapat pelbagai kempen serta iklan yang mengingatkan orang ramai agar tidak mengeksploitasi kanak-kanak,” katanya.
Nancy turut menyuarakan kebimbangan terhadap amalan ibu bapa yang mempamerkan anak-anak mereka di media sosial semata-mata untuk meraih perhatian.
“Kadangkala ibu bapa rasa anak mereka comel, lalu dikongsikan dalam media sosial atau televisyen.
“Tetapi kita tidak galakkan perkara ini kerana ia boleh mengundang padah kepada keselamatan keluarga,” ujarnya.
Beliau berkata, isu tersebut juga akan dibawa ke Geneva dalam persidangan berkaitan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) bagi membincangkan pendekatan yang telah dan akan diambil oleh Malaysia.
“Menerusi CRC, kita akan mengadakan perbincangan bersama UNICEF dan negara-negara lain yang turut serta bagi berkongsi pandangan serta menerima maklum balas.
“Perjumpaan di Geneva kelak akan menjadi platform penting untuk kita mendapatkan input daripada pelbagai pihak, selain turut menyampaikan usaha serta pendekatan yang sedang dilaksanakan di Malaysia,” ujarnya.
Katanya, meskipun Malaysia belum mempunyai undang-undang khusus untuk melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi digital, usaha ke arah itu sedang giat dijalankan.
“Kita sering menekankan pendekatan melalui advokasi di sekolah-sekolah, memberi kesedaran kepada pelajar, guru dan ibu bapa mengenai risiko pendedahan digital.
“Tujuannya adalah supaya mereka memahami kesan serta punca yang boleh timbul akibat pendedahan terhadap media sosial dan dunia digital,” jelasnya.
Nancy menambah, dalam konteks penggubalan undang-undang, perkara tersebut terletak di bawah bidang kuasa Bahagian Undang-Undang yang dikendalikan oleh kementerian yang dipimpin oleh Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Bagaimanapun, pelaksanaannya memerlukan kerjasama rapat antara beberapa kementerian seperti Kementerian Digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dan kementerian saya sendiri.
“Undang-undang tersebut tidak akan digubal oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh dan kolaboratif,” tambahnya.





