MIRI: Seramai 836 golongan asnaf di bahagian Miri menerima sumbangan sempena Tahun Baharu Cina (TBC) 2025 dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM83,600.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, sumbangan tersebut adalah untuk meringankan beban penerima agar mereka dapat menyambut perayaan dengan lebih bermakna.
“Seramai 150 penerima yang hadir menerima sumbangan dalam bentuk tunai sebanyak RM100 setiap seorang serta hamper makanan bernilai RM150 setiap satu.
“Manakala, bagi 686 baki penerima lain yang tidak dapat hadir, sumbangan tunai akan dikreditkan terus ke akaun masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih TBC di Hotel Dynasty di sini hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan berjumlah RM258 juta kepada 56,044 penerima sepanjang 2024.
Sementara itu bagi 2025, seramai 8,135 penerima bantuan berbangsa Cina di seluruh Sarawak akan menerima sumbangan sempena TBC dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM813,500.
Fatimah juga mengumumkan bahawa kenaikan kadar bantuan turut diperkenalkan pada tahun ini bagi Bantuan Warga Emas dan Bantuan Kanak-Kanak.
“Kanak-kanak berumur tujuh tahun ke bawah menerima RM250, manakala yang berumur tujuh tahun ke atas menerima tambahan sebanyak RM50, jelasnya.






