KUCHING: Sebanyak 8,804 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya sepanjang pelaksanaan Op Selamat 22 pada 8 hingga 13 April 2024.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, angka berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 7,316 saman berbanding Op Selamat tahun lalu.
“Peningkatan pengeluaran saman kali ini susulan pelaksanaan penguatkuasaan secara menyeluruh dan bersasar terhadap kesalahan yang boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.
“Namun demikian, tumpuan perkhidmatan kepada pengguna jalan raya dalam kelancaran lalu lintas juga tetap dilaksanakan,” kata Mancha dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau lagi, secara keseluruhannya, polis Sarawak berjaya merangka pelbagai strategi sepanjang pelaksanaan operasi tersebut.
Katanya, ia bagi memastikan respon penyuraian aliran trafik dijalankan selain memantau trend lalu lintas di sepanjang lokasi yang sering berlaku kemalangan maut.
“Sehubungan itu, kesemua pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan sama-sama menjaga keselamatan diri ketika berada di atas jalan raya,” katanya.





