SARIKEI: Kesungguhan penduduk Sarikei dalam membantu kerajaan memerangi wabak Covid 19 terbukti apabila tahap pematuhan mereka terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencapai tahap 98.0 peratus setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bencana Covid 19 Bahagian Sarikei, Datu Len Talif Salleh berkata, perkembangan positif itu menunjukkan kesedaran tinggi penduduk terhadap bahaya dan ancaman wabak berkenaan.
Menurutnya, semua agensi di barisan hadapan kini berusaha keras bagi memastikan wabak Covid 19 tidak menular khususnya di kawasan yang masih dikategorikan hijau.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga Sarikei yang memberikan kerjasama baik sepanjang PKP dilaksanakan.
“Kita amat berharap kerjasama seperti ini diteruskan sehingga tamat tempoh PKP nanti,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di sini, semalam.
Beliau yang juga Menteri Muda Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar berkata, bahagian Sarikei mempunyai empat daerah iaitu Sarikei, Pakan, Meradong dan Julau.
Enam kes yang dicatatkan setakat ini katanya, hanya melibatkan daerah Sarikei sahaja sementara yang lain masih dalam kategori hijau.
“Kita sedaya upaya melakukan usaha terbaik bagi memastikan jumlah positif Covid 19 di daerah ini tidak meningkat.
“Sarikei mempunyai enam rekod positif Covid 19. Bagaimanapun seorang daripadanya sudah dilaporkan pulih. Kita juga difahamkan kes positif adalah daripada kluster yang sama.
“Pada masa yang sama, operasi nyahkuman untuk bahagian ini juga akan dilakukan mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.
Beliau memberitahu, pihaknya kini sedang memberi tumpuan terhadap bantuan makanan kepada penduduk luar bandar yang terjejas berikutan lanjutan tempoh PKP sehingga 14 April.
Menurutnya, setakat ini, jawatankuasa sudah mengantar senarai penerima di bahagian ini kepada jawatankuasa induk sebagai tindakan susulan.
Sehubungan itu katanya, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan tidak ada yang tercicir daripada menerima bantuan tersebut.