ARTIKEL

Genevieve Sauberli.

Persepsi rakyat terhadap migrasi mudah dipengaruhi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Pandangan rakyat Malaysia terhadap isu migrasi didapati tidak tegas dan cenderung berubah-ubah, dengan sebahagian besar masyarakat berada dalam kumpulan yang mudah dipengaruhi oleh maklumat dan naratif semasa.

Kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melibatkan 1,200 responden di seluruh negara menunjukkan kira-kira dua pertiga rakyat Malaysia berada dalam kelompok ini — mereka tidak sepenuhnya menolak atau menerima migrasi, sebaliknya masih menilai berdasarkan maklumat yang diterima.

Penasihat Migrasi Serantau, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) Genevieve Sauberli berkata, cara sesuatu isu diceritakan dalam media dan masyarakat memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi awam.

“Naratif yang diulang berulang kali boleh mempengaruhi pemikiran masyarakat, walaupun ia tidak menggambarkan keseluruhan realiti,” katanya pada Latihan Pelaporan Migrasi yang diadakan di Renaissance Kuala Lumpur Hotel, semalam.

Menurut Genevieve yang berasal dari Bangkok, kajian menunjukkan rakyat Malaysia secara umum mengakui sumbangan migran kepada ekonomi negara.

Katanya, sebanyak 52 peratus responden bersetuju golongan migran memberi kesan positif kepada ekonomi dan masyarakat.

“Hanya 32 peratus responden melihat kesan positif terhadap budaya dan kehidupan sosial golongan tersebut, manakala 42 peratus masih tidak pasti mengenai dasar imigresen negara. Ini menunjukkan terdapat keseimbangan antara penerimaan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Menurut beliau lagi, kajian itu turut mengenal pasti beberapa kelompok dalam golongan tengah, termasuk mereka yang ragu-ragu, separa menyokong dan bersimpati tetapi masih bimbang.

Kumpulan ini katanya majoriti berusia 18 hingga 40 tahun dan apa yang ketara, mereka tidak mempunyai pendirian yang kukuh serta mudah berubah mengikut cara sesuatu isu dibentangkan kepada mereka.

“Kajian turut memberi perhatian kepada bagaimana naratif negatif seperti stereotaip, maklumat tidak tepat dan bahasa yang merendahkan boleh mempengaruhi persepsi.

“Apabila naratif sebegini sering didengar, ia boleh membentuk pandangan ‘kita lawan mereka’ dan meningkatkan jurang dalam masyarakat. Dalam jangka panjang, ia boleh menjejaskan hubungan sosial dan kepercayaan antara kumpulan masyarakat.

“Bagaimanapun, golongan ini juga dilihat sebagai kumpulan yang masih terbuka kepada perubahan pandangan,” katanya.

Tambah beliau, kajian menunjukkan mereka boleh menjadi lebih memahami jika didedahkan kepada maklumat yang seimbang serta cerita sebenar tentang kehidupan migran.

Pendekatan berasaskan kisah manusia didapati lebih berkesan berbanding hanya bergantung kepada statistik atau pandangan umum.

“Kajian ini menunjukkan bahawa isu migrasi di Malaysia bukan sekadar soal dasar, tetapi juga soal persepsi,” ujarnya.

BERITA LAIN

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

BERITA TERBARU

RM1.272 bilion perkukuh bekalan air di Sarawak

KUCHING: Enam projek bekalan air di Sarawak bernilai keseluruhan RM1.272 bilion akan diteruskan menerusi Pelan Pelaksanaan Berkala Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi meningkatkan akses

Polis tahan empat suspek kes khianat simbah cat

MIRI: Gara-gara tuntutan hutang pinjaman wang dalam talian yang dipercayai dibuat oleh anak lelakinya, seorang bapa berusia 54 tahun menerima ugutan sebelum kediamannya di sebuah