KUCHING: Belanjawan Sarawak 2027 perlu diterjemahkan kepada peluang perniagaan yang lebih luas, pengurangan kos operasi dan peningkatan pendapatan rakyat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri turut memberi manfaat kepada komuniti perniagaan tempatan.
Ahli perniagaan dan pemimpin masyarakat, Datuk Sim Kiang Chiok berkata, Belanjawan Sarawak 2027 yang mengunjurkan lebihan RM246 juta mencerminkan usaha kerajaan mengekalkan disiplin kewangan sambil meneruskan pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat.
Beliau berkata, peruntukan pembangunan sebanyak RM10.098 bilion serta RM300 juta bagi Dana Kekayaan Berdaulat Masa Hadapan Sarawak turut menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan jangka panjang dan kestabilan kewangan negeri.
Bagaimanapun, katanya, kejayaan belanjawan tidak seharusnya diukur berdasarkan hasil negeri dan projek infrastruktur semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira peningkatan pendapatan isi rumah, peluang pekerjaan dan kos sara hidup rakyat.
“Saya mengalu-alukan pelan tindakan reformasi memudahkan urusan perniagaan kerana ia berpotensi mengurangkan kerenah birokrasi, memudahkan proses kelulusan dan mengurangkan kos pematuhan bagi perniagaan,” katanya.
“Kerajaan perlu memastikan pelaksanaannya membawa perubahan yang boleh diukur, termasuk kelulusan lebih pantas, keperluan yang lebih jelas dan perkhidmatan digital yang lebih cekap,” katanya dalam kenyataan mengenai Belanjawan Sarawak 2027.
Menurutnya, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu diberikan lebih banyak peluang untuk berkembang, melabur dan mewujudkan pekerjaan menerusi persekitaran perniagaan yang lebih cekap.
Beliau turut menyambut baik inisiatif Buatan Sarawak yang bertujuan memperluas pasaran produk tempatan dan meningkatkan keupayaan eksport negeri.
Katanya, syarikat tempatan perlu digalakkan memperkukuh penjenamaan, meningkatkan mutu produk serta menceburi bidang pemprosesan dan pembuatan bernilai tinggi supaya dapat mengambil bahagian dalam rantaian bekalan yang diwujudkan menerusi pelaburan baharu.
Dalam pada itu, Sim menyifatkan cadangan penubuhan Pusat Kewangan Antarabangsa Dalam Pesisir (OIFC) sebagai langkah strategik yang berpotensi melengkapi transformasi ekonomi Sarawak.
Menurutnya, pembangunan ekosistem kewangan yang lebih kukuh dapat menyokong keperluan pembiayaan pelaburan, perkembangan perniagaan dan pertumbuhan industri baharu.
“Pembangunan OIFC perlu disokong kerangka kawal selia yang jelas, tadbir urus yang kukuh, kepakaran profesional dan kredibiliti antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, peluang dalam sektor tenaga boleh baharu, hidrogen, perkhidmatan digital serta pengurusan karbon juga boleh membantu Sarawak mempelbagaikan sumber hasil dan menarik pelaburan baharu.
Katanya, kerajaan perlu memastikan pembangunan sektor berkenaan turut mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, pemindahan teknologi dan peluang penyertaan lebih besar kepada syarikat Sarawak.
“Keutamaan adalah untuk menterjemahkan peluang ini kepada hasil negeri yang nyata, perniagaan tempatan yang lebih kukuh dan pekerjaan bergaji lebih baik untuk rakyat Sarawak,” katanya.
Dari sudut pembangunan modal insan, beliau berkata, bantuan pendidikan, peluasan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak merupakan langkah penting dalam menyediakan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri.
Menurutnya, program pendidikan dan latihan perlu diselaraskan dengan perkembangan sektor ekonomi negeri supaya golongan muda berpeluang memperoleh pekerjaan yang bermakna dan membina kerjaya di Sarawak.
Beliau turut mengalu-alukan bantuan kos sara hidup, termasuk diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus sehingga 2027, subsidi bil air dan program Sarawak Kesejahteraan Asas Sarawak (SKAS), yang disifatkannya sebagai langkah membantu isi rumah menangani peningkatan perbelanjaan harian.
Katanya, bantuan perumahan kepada pembeli rumah pertama, skim bantuan sewa serta potongan sewa premis kerajaan untuk peniaga kecil dan penjaja juga penting dalam membantu rakyat membina kehidupan lebih stabil dan membolehkan perniagaan kecil terus beroperasi.
“Walaupun ekonomi negeri menunjukkan perkembangan positif, keluarga masih berdepan tekanan kos makanan, pengangkutan, utiliti dan keperluan asas lain,” katanya.
“Kerajaan perlu terus memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, di samping mengekalkan perbelanjaan awam yang mampan,” katanya.
Sim berkata, pembangunan luar bandar juga perlu terus diberikan perhatian menerusi penyediaan jalan raya, jambatan, bekalan elektrik, air bersih dan telekomunikasi bagi menghubungkan komuniti dengan peluang ekonomi.
Beliau berkata, sektor pertanian moden, pengeluaran makanan berskala besar, pemprosesan makanan dan pelancongan berpotensi mewujudkan pekerjaan, memperkukuh keselamatan makanan serta meningkatkan pendapatan komuniti luar bandar.
Mengulas keutamaan pelaksanaan belanjawan, beliau berkata, kerajaan perlu menjalankan penilaian berkala bagi memastikan dasar yang diumumkan benar-benar memberikan kesan kepada perniagaan, pelajar dan isi rumah.
“Matlamat utama kita adalah membina Sarawak dengan pendapatan lebih tinggi, kualiti hidup lebih baik, perniagaan tempatan lebih kukuh dan peluang lebih luas untuk generasi akan datang, sambil memelihara alam sekitar,” katanya.



