SINGAPURA: Kerajaan Singapura menerusi Kementerian Ehwal Luar (MFA) menasihatkan warganya supaya menangguhkan semua perjalanan ke Arab Saudi berikutan peningkatan ancaman keselamatan di rantau berkenaan.
Langkah berjaga-jaga itu diambil susulan kekerapan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan sektor penerbangan awam termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid (KKIA) di Riyadh serta infrastruktur tenaga.
Sehubungan dengan itu, MFA mengingatkan rakyat Singapura yang berada di Arab Saudi agar menjauhi kawasan KKIA dan zon berisiko tinggi lain, selain sentiasa memantau perkembangan berita tempatan serta mematuhi arahan pihak berkuasa.
Kementerian berkenaan turut menasihatkan warganya yang perlu ke Arab Saudi atau kini berada di Asia Barat supaya bersiap siaga menghadapi kemungkinan gangguan jadual perjalanan pada bila-bila masa.
Rakyat Singapura yang berada di kawasan berkenaan amat digalakkan mendaftar secara dalam talian menerusi portal rasmi MFA selain menghubungi pihak kedutaan atau konsulat sekiranya memerlukan bantuan konsular seperti dilapor Bernama.



