KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Tai-Yap Roy King, mengawali kempen Kejohanan Badminton Terbuka Hylo 2026 dengan kemenangan mudah pada pusingan pertama semalam seperti dilapor Bernama.
Pasangan ranking ke-74 dunia itu menewaskan beregu tuan rumah, Malik Borakkadi-Kenneth Neumann yang menduduki ranking ke-63, 21-11, 21-12 dalam tempoh 28 minit di Saarlandhalle, Saarbrucken, Jerman.
Kejayaan tersebut menyusuli kemenangan Aaron-Roy King di Terbuka Artik Super 500 di Vantaa, Finland tiga minggu lalu, iaitu gelaran pertama sejak digandingkan semula oleh jurulatih beregu lelaki negara, Herri Iman Pierngadi.
Kejohanan di Jerman ini menjadi penampilan keempat berturut-turut pasangan itu di Eropah, selepas kedua-duanya terhenti pada pusingan kedua di Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis.
Pada pusingan kedua Khamis ini, mereka bakal berdepan sama ada pilihan utama Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani, atau beregu England ranking ke-40 dunia, Alex Green-Zach Russ.


