SINGAPURA: Sarawak terus mengukuhkan peranannya dalam agenda kelestarian global menerusi lawatan kerja rasmi selama dua hari Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke Singapura bermula hari ini.
Agenda utama lawatan Abang Johari tersebut adalah untuk menghadiri Philanthropy Asia Summit 2026 sekali gus menjadi antara pemimpin yang akan berucap dalam sesi ‘The Public Agenda’ semasa sidang kemuncak tersebut di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands, Marina Bay Sands, Singapura pada 18 Mei ini.
Dalam ucapannya nanti, Abang Johari juga akan berkongsi pengalaman Sarawak dalam memacu pembangunan ekonomi sambil mengurangkan intensiti karbon serta bagaimana penyelarasan dasar, kerjasama tenaga bersih rentas sempadan dan modal jangka panjang dapat digembleng bersama bagi mempercepatkan kemakmuran hijau.
Selain itu, beliau dijangka menyentuh strategi Sarawak dalam menyelaraskan dasar, perundangan dan institusi di bawah satu visi jangka panjang yang menyeluruh, daripada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) kepada Pelan Tindakan Kelestarian Sarawak, Dasar Peralihan Tenaga Sarawak dan Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak.
Dianjurkan oleh Philanthropy Asia Alliance, sidang kemuncak yang berlangsung dari 18 hingga 20 Mei itu juga menumpukan kepada inovasi Asia yang berpotensi diketengahkan di peringkat global serta kerjasama rentas sektor.
Ia menghimpunkan pemimpin daripada sektor filantropi, perniagaan dan kerajaan untuk meneroka bagaimana sains, teknologi, pembiayaan inovatif serta kerjasama rentas sektor dapat memacu penyelesaian berani dalam bidang iklim, kesihatan dan pembangunan inklusif.
Sebelum menyampaikan ucaptama, Abang Johari juga dijadual mengadakan pertemuan bersama Menteri Tenaga Manusia Singapura, Tan See Leng sebagai usaha mengukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Selain itu, beliau juga akan mengadakan mesyuarat berprofil tinggi bersama Temasek Trust dan Equatic yang dijangka menumpukan kepada perbincangan berkaitan sektor tenaga dan pelbagai perkara lain.
Hadir menyambut ketibaan Premier di hotel penginapan ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datuk Seri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn Bhd, Malseni Jamal; dan Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Ts. Dr Nurleyna Yunus.



