KUCHING: Teka teki kerusi Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada PRN-12 Sarawak akhirnya terjawab apabila beliau mengesahkan akan ke Dun Gedong.
Pengumuman yang dibuat Abang Johari sendiri pada Majlis Penyerahan Watikah pelantikan Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sini, hari ini turut menyaksikan Naroden mengundur diri daripada bertanding kali ini.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua PBB Cawangan Satok Datuk Ibrahim Baki diangkat sebagai calon bagi menggantikan Abang Johari dan disahkan akan bertanding di kerusi Satok .
Beliau ketika ditemui mengucapkan terima kasih kerana diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti untuk menggalas tanggungjawab besar dan berkhidmat kepada rakyat di Satok.
“Beliau (Abang Johari) telan meninggalkan ‘kasut’ yang besar kepada saya, ia sememangnya satu cabaran yang besar.
“Namun pengalaman saya lebih 36 tahun bersama Abang Johari akan digunakan dengan sebaik mungkin dalam meneruskan kelangsungan pembangunan secara holistik di kawasan itu,” katanya.
Tambah Ibrahim, sebarang perancangan dan pembangunan yang telah dilaksanakan dan sedang dibuat akan diteruskan.
“Beberapa keutamaan akan diberikan tumpuan kepada usaha mengangkat imej Satok sebagai sebuah kawasan yang berkarakter selain menangani isu perumahan.
“Persekitaran tanah yang terhad di Satok akan diambil kira dalam usaha membangunkan lebih banyak kawasan kediaman untuk golongan B40 dan M40,” katanya.
Ibrahim, 62, juga Timbalan Setiausaha Agung GPS dan Ahli Lembaga Pengarah PETRONAS, beliau memiliki pengalaman yang amat luas dalam politik Sarawak.