KUCHING: Pemergian Datuk Song Swee Guan menyaksikan Sarawak kehilangan individu yang setia berkhidmat kepada rakyat.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, mendiang merupakan seorang yang sangat merendah diri dan berdedikasi dalam memberikan khidmat kepada rakyat.
“Mendiang berkhidmat dengan sangat baik kepada rakyat, sekali gus menjadikan beliau sebagai figura yang sangat popular di Kuching,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita setelah memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang yang juga merupakan Datuk Bandar Kuching Selatan yang pertama di Rumah Pengurusan Jenazah Chan di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian serta barisan kepimpinan yang lain.
Mengimbau pengalaman bekerja bersama-sama mendiang, Abang Johari menceritakan detik ketika mereka masing-masing berada dalam pergerakan belia parti.
Sehubungan itu, Abang Johari turut memuji kepimpinan mendiang sepanjang memikul segala tanggungjawab yang diberikan.
“Mendiang telah disyorkan untuk menjadi calon di DUN Padungan serta Parlimen Bandar Kuching dan berjaya memenangi pilihan raya di kedua-dua kawasan berkenaan,” katanya.
Tambahnya, kemenangan tersebut menunjukkan betapa kuatnya sokongan akar umbi yang diterima.
Bahkan, mendiang turut dinaikkan sebagai Speaker DUN Sarawak dan melaksanakan tanggungjawab berkenaan dengan sangat baik.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan berharap mereka diberikan kesabaran serta kekuatan untuk melalui tempoh berkabung berkenaan.
Terdahulu, mendiang Swee Guan dilaporkan meninggal dunia pada Ahad (4 Oktober 2026) di Hospital Umum Sarawak pada usia 84 tahun.


