ARTIKEL

Abang Johari berucap pada Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara Kuching City FC dengan Affin Bank di Kuching, hari ini.

Abang Johari mahu The Cats harumkan nama Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerjasama strategik antara Affin Group dengan Kuching City FC diyakini mampu mengangkat nama Sarawak ke pentas serantau dan antarabangsa, selaras dengan aspirasi kedua-dua organisasi untuk muncul sebagai peneraju dalam bidang masing-masing.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata Kuching City FC mempunyai cita-cita untuk menjadi juara bola sepak, manakala Affin pula berhasrat menjadi peneraju dalam industri perbankan.

“Saya berharap mereka akan terbang seperti AirBorneo, membawa warna dan identiti Sarawak ke peringkat yang lebih luas,” katanya pada Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara Kuching City FC dengan Affin Bank, di sini, hari ini.

Menurutnya, kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada kekuatan strategi dan semangat untuk menang, prinsip yang turut digunakan Sarawak dalam memacu pembangunan negeri.

Sementara itu, beliau berkata perkembangan bola sepak negeri menunjukkan usaha membangunkan sukan berkenaan berada pada landasan tepat apabila Kuching City FC kini mampu bersaing dengan pasukan terbaik negara dan melayakkan diri ke pentas ASEAN.

Beliau berkata besar harapannya agar The Cats terus mengorak langkah sebagai pasukan bertaraf serantau dan tidak lagi sekadar bersaing di peringkat domestik susulan peningkatan prestasi yang ditunjukkan kelab itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Yang penting, pasukan kita boleh beraksi di peringkat ASEAN. Kita bukan lagi juara kampung. Kita mahu menang dan menjadi juara di peringkat ASEAN.

“Mudah-mudahan kita dapat melakar kejayaan dalam Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim 2026/2027,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata perkembangan positif itu jauh berbeza berbanding prestasi bola sepak Sarawak pada awal 2000-an apabila mutu permainan dan sokongan penyokong ketika itu berada pada tahap kurang memberangsangkan.

“Sebab itu kita mengambil inisiatif menganjurkan Liga Bola Sepak Kuching dengan harapan dapat membentuk pasukan yang lebih berwibawa untuk bersaing dalam bola sepak Malaysia,” ujarnya.

Menurutnya, hasil usaha berterusan itu kini mula membuahkan hasil apabila Kuching City FC mampu memberi saingan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), termasuk mara ke pentas final.

Untuk rekod, Kuching City FC menamatkan saingan Liga Super musim 2025/2026 selaku naib juara dengan mengumpul 53 mata hasil 16 kemenangan dan lima keputusan seri, sekali gus melakar sejarah tersendiri apabila layak beraksi di pentas ACL2 musim 2026/2027.

Musim baharu menyaksikan The Cats bakal bersaing dalam Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, ACL2 dan Kejuaraan Kelab ASEAN Shopee Cup 2026/2027.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha