KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Hinggap Perak, Kuala Lumpur, hari ini.
Sesi menghadap itu diadakan bagi mempersembahkan warkah persilaan kepada Sultan Nazrin untuk berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 yang dijadual berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 27 Julai ini.


Abang Johari yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) turut mempersembahkan taklimat mengenai penganjuran konvensyen berkenaan, termasuk objektif serta usaha memperkukuh institusi wakaf sebagai pemangkin pembangunan dakwah, pendidikan, kebajikan dan pembangunan mualaf.
Konvensyen itu dijangka menghimpunkan tokoh wakaf, ulama, ahli akademik dan pemimpin Islam dari Malaysia serta beberapa negara, termasuk Indonesia, Timor-Leste, Sri Lanka, Libya dan Thailand, bagi berkongsi pengalaman serta model pengurusan wakaf yang mampan.
Antara fokus utama konvensyen ialah membincangkan model pembiayaan wakaf yang lestari bagi menyokong usaha dakwah secara berterusan, di samping meneroka peluang kerjasama antarabangsa dalam pembangunan institusi wakaf.
PERKIM berharap hasil konvensyen itu dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan dasar dan kerjasama strategik antara institusi wakaf, kerajaan, Majlis Agama Islam Negeri, institusi kewangan Islam serta badan dakwah.
Turut mengiringi Abang Johari ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.





