ARTIKEL

Abang Johari ketika ditemui pemberita. | Foto UKAS

Abang Johari serah kepada SPR, rakyat beri maklum balas cadangan 17 kerusi DUN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meneliti maklum balas orang ramai berhubung cadangan persempadanan baharu yang menyaksikan penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Beliau memberitahu, pameran SPR pada 1 September lalu itu merupakan proses awal bagi membolehkan rakyat meneliti cadangan termasuk nama dan kawasan bahagian pilihan raya sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

“Ini kerja pihak SPR.

Jadi, SPR mempamerkan cadangan termasuk nama dan seterusnya kita tengok bagaimana maklum balas daripada orang awam,” katanya mengulas perkara itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Perhimpunan Agung dan Konvensyen Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Mengulas persoalan beberapa nama baharu yang dilihat agak unik termasuk Pasir Pandak dan Samarindah, Abang Johari berkata perkara itu tidak seharusnya dianggap pelik kerana sesebuah bahagian pilihan raya boleh menggunakan nama tempat yang sememangnya wujud.

Menurut cadangan SPR, 17 kerusi DUN baharu yang dipamerkan ialah Jagoi, Pasir Pandak, Matang, Semarak, Tabuan Jaya, Maong, Samarindah, Sungai Serin, Igan, Tanah Mas, Sungai Merah, Bukit Kemuyang, Melekun, Batu Niah, Permaisuri, Tudan dan Usun Apau.

Cadangan itu meningkatkan jumlah kerusi DUN Sarawak daripada 82 kepada 99 sekiranya diluluskan dan dikuatkuasakan, dengan kebanyakan kerusi baharu tertumpu di kawasan yang mempunyai pertumbuhan penduduk, khususnya di beberapa kawasan bandar.

Selain mewujudkan 17 kerusi baharu, cadangan persempadanan itu turut membabitkan perubahan nama 10 kerusi sedia ada, antaranya Opar kepada Serayan, Tasik Biru kepada Singai, Tarat kepada Bung Sadong, Semop kepada Muara Lassa dan Jemoreng kepada Matu.

Abang Johari berkata, perkara yang lebih penting ketika ini ialah memberi ruang kepada SPR untuk mempamerkan cadangan berkenaan serta menerima maklum balas daripada pemilih mengenai kawasan masing-masing.

Pameran cadangan berkenaan diadakan selama sebulan di beberapa lokasi terpilih di seluruh Sarawak, termasuk pejabat daerah serta pihak berkuasa tempatan di kawasan Parlimen masing-masing, bagi membolehkan orang awam meneliti cadangan dan mengemukakan bantahan.

Ditanya sama ada proses persempadanan baharu itu sempat diselesaikan sebelum tempoh DUN Sarawak berakhir, Abang Johari berkata perkara itu bergantung kepada tempoh proses yang perlu dilalui SPR kerana ketika ini ia baharu memasuki pameran pertama.

Jelasnya lagi, tempoh DUN Sarawak dijangka berakhir pada Februari tahun depan, namun tidak dapat memastikan sama ada keseluruhan proses persempadanan termasuk pameran, bantahan dan kelulusan dapat diselesaikan dalam tempoh berkenaan.

BERITA LAIN

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi

BERITA TERBARU

Wanita maut dalam kemalangan di Batu Niah

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun maut selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh belakang sebuah lori di Jalan Pan Borneo, berhampiran Simpang WTK, Batu Niah, pagi