MUKAH: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memulakan pagi dengan aktiviti berjalan kaki sejauh dua kilometer sebelum bersarapan bersama masyarakat di Gerai Kopi Market Dana, atau lebih dikenali sebagai Stabak Mukah, di sini, hari ini.
Aktiviti berkenaan merupakan antara pengisian Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Mukah hari kedua yang memberi peluang kepada Abang Johari mendekati masyarakat dalam suasana santai.
Setibanya di Stabak Mukah, beliau meluangkan masa menikmati sarapan bersama penduduk dan pengunjung gerai selain beramah mesra serta bertukar pandangan dengan orang ramai.

Program berkenaan turut memperlihatkan sisi santai kepimpinan negeri ketika berada di Mukah sempena penganjuran SKS 2026 Bahagian Mukah.
Abang Johari kemudiannya melawat Pasar Basah Mukah bagi meninjau hasil laut yang dibawa masuk oleh nelayan tempatan.

Beliau seterusnya dijadualkan menyempurnakan perasmian Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Mukah di Dataran Pehin Setia Raja, hari ini.
Program Sarawakku Sayang Bahagian Mukah berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober di Dataran Pehin Setia Raja dengan menghimpunkan pelbagai aktiviti serta penyertaan agensi kerajaan.


