ARTIKEL

FOTO UKAS

Abang Johari sokong penubuhan Akademi Penerbangan di Betong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyokong cadangan penubuhan Akademi Penerbangan di Betong bagi melahirkan tenaga mahir, khususnya juruterbang dron untuk menyokong agenda pertanian moden di negeri ini.

Menurutnya, cadangan berkenaan sebelum ini dikemukakan oleh Timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, susulan keperluan penggunaan teknologi dron yang semakin penting dalam sektor pertanian.

Katanya, pengendalian dron bukan sekadar memerlukan kemahiran teknikal, malah melibatkan aspek pelesenan yang perlu dipatuhi oleh pengendalinya.

“Dalam apa yang kita sebut tentang pertanian moden, kita memerlukan penggunaan dron.

“Untuk mengendalikan dron, sudah tentu memerlukan seseorang yang mempunyai kemahiran menerbangkan dron.

“Untuk menjadi juruterbang dron pula, seseorang itu perlu memiliki lesen.

“Maknanya, petani kita juga perlu mempunyai lesen.

“Jika mereka tidak dapat mengendalikan dron sendiri, anak-anak mereka boleh menggunakan dron untuk membantu membaja tanaman.

“Justeru, dron amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Peringkat Bahagian Betong di Kompleks Sukan Betong, di sini, hari ini.

Jelasnya, sokongan mewujudkan Akademi Penerbangan di Betong adalah melalui kerjasama dengan sektor swasta, khususnya bagi menyediakan latihan berkaitan pengendalian dan pelesenan dron.

“Jika ruang udara tersedia, anak-anak petani kita boleh belajar cara mengendalikan dron dengan betul.

“Saya minta Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), Datuk Syeed Mohd Hussien Wan Abd Rahman menggunakan fasiliti yang ada untuk melahirkan lebih ramai juruterbang dron, termasuk memperkenalkan teknologi pertanian padi pintar,” ujarnya.

Menurutnya, penggunaan teknologi terkini secara lebih meluas mampu meningkatkan produktiviti sektor pertanian, selain membantu petani mengadaptasi kaedah pertanian yang lebih moden dan berkesan.

“Saya yakin penggunaan teknologi dapat meningkatkan pengeluaran sektor pertanian apabila dikolaborasikan dengan teknologi terkini,” tambahnya.

Dalam pada itu, Abang Johari turut meluluskan cadangan pembinaan Pusat Konvensyen Mini Betong seperti yang terdapat di Lawas.

Katanya, kemudahan berkenaan akan menyediakan ruang untuk perkongsian ilmu serta meningkatkan tahap pengetahuan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Kelulusan itu sekali gus memperkukuh usaha Kerajaan Sarawak menyediakan kemudahan awam yang dapat menyokong pembangunan modal insan dan pertumbuhan sosioekonomi di Bahagian Betong.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU