KUCHING: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disaran mendapatkan maklumat mengenai peluang pendidikan dan bantuan kewangan yang disediakan kerajaan supaya kekangan kewangan tidak menjadi penghalang untuk melanjutkan pengajian.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, pelbagai bentuk bantuan dan laluan pendidikan tersedia bagi membantu pelajar meneruskan pengajian selepas tamat persekolahan menengah.
“Antaranya, Kerajaan Sarawak menyediakan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) bagi program ijazah yang layak serta pelbagai bantuan pendidikan menerusi Yayasan Sarawak.

“Kerajaan Persekutuan pula menerusi Belanjawan 2027 mengumumkan elaun RM2,500 bagi setiap pelajar Tingkatan Enam untuk sesi persekolahan 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi dan Apresiasi Tingkatan 5 SMK Sadong Jaya di Dewan Sri Nilam, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pelajar supaya mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan bantuan ditawarkan sebelum menentukan hala tuju pendidikan masing-masing.
Pelajar turut mempunyai pelbagai pilihan untuk melanjutkan pengajian selepas SPM, termasuk ke politeknik, kolej komuniti, institusi latihan kemahiran, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Tingkatan Enam.
“Kegagalan memasuki universiti bukanlah pengakhiran kepada peluang untuk berjaya kerana masih terdapat laluan pendidikan dan kerjaya lain yang boleh diterokai mengikut minat, kebolehan serta perancangan masa depan,” katanya.
Beliau berkata, golongan muda perlu melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran bagi merebut peluang dalam sektor yang semakin berkembang, termasuk ekonomi digital, teknologi, tenaga hijau, kejuruteraan dan pertanian moden.
“Pada masa sama, ibu bapa dan guru juga perlu terus membimbing serta memberikan sokongan kepada pelajar dalam menentukan hala tuju pendidikan dan kerjaya mereka,” katanya.
Majlis itu menyaksikan seramai 202 pelajar Tingkatan Lima diraikan sebagai graduan sekolah berkenaan.






