Abu mayat pelajar dibunuh di Taiwan tiba di Sibu, RIP untuk Irene Chung

SIBU: Ibu bapa pelajar yang dibunuh di Taiwan pada minggu lalu telah membawa pulang abu anak mereka ke sini, petang tadi.

Ayah mangsa, Chung Wei Kuo dan ibunya Ting Ching Ching telah membawa abu anak mereka mendiang Irene Chung dari Lapangan Terbang Sibu (LTS) terus ke Taman Peringatan Nirvana di sini untuk dikebumikan setelah mereka tiba dari Kuching.

Peguam mereka yang juga bekas Adun Dudong Yap Hoi Liong mengatakan bahawa ibu bapa mendiang diberi kebenaran khas selama lima hari dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk mengadakan upacara pengkebumian.

“Pengerusinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberikan persetujuan berkenaan dengan keistimewaan kes ini.

“Kami akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

DISEMADIKAN…Salah seorang ahli keluarga ketika membawa abu mendiang yang diletakkan di tempat khas sebaik tiba di LTS.

“Selepas itu mereka akan menjalani kuarantin di rumah. Kami akan mengatur sidang media kemudian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di LTS, petang tadi.

Kedua-dua ibu bapa mendiang tiba di sini pada jam 6 petang tadi dari Taipei.

Mereka menaiki penerbangan jam 8.30 pagi dari Taipei dan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki penerbangan bersambung ke Kuching dan kemudian ke Sibu.

Mereka berlepas ke Taiwan pada 1 November lalu untuk mengatur proses pengebumian mendiang.

Pelajar berusia 24 tahun di Universiti Kristian Chiang Jung di Tainan, Taiwan ditemui mati pada 29 Oktober lalu di daerah pergunungan Alian di Kaohsiung.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang oleh pihak universiti setelah gagal untuk bertemu dengan rakan sekelasnya pada malam 28 Oktober lalu.

Rakaman yang dirakam pada kamera CCTV menunjukkan dia berjalan sendirian dekat jalan raya kereta api berhampiran universiti sekitar jam 8 malam pada malam yang sama.

Berdasarkan rakaman yang sama, polis Taiwan juga telah menemui dan menangkap seorang lelaki berusia 28 tahun, yang kemudian mengaku mencekik pelajar itu dengan tali panjang dan membuang mayat di pergunungan Kaohsiung.

Ketika tiba di LTS, kedua-dua ibubapa mendiang enggan bercakap dengan pemberita kerana sedih atas kehilangan anak mereka.

Turut menyambut ketibaan mereka ialah Penasihat Persatuan Graduan Taiwan Malaysia Sibu Datuk Thomas Tiang.

Suara Sarawak