BINTULU: Acara Bintulu Bidar Challenge 2025 yang dijadualkan berlangsung mulai 19 hingga 23 Julai ini ditunda ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kemudian.
Susulan penangguhan itu, pihak penganjur turut membatalkan semua aktiviti jualan yang dirancang sempena acara berkenaan.
Menurut kenyataan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan demi memastikan kelancaran serta keselamatan penganjuran acara pada masa akan datang.
“Kami memahami kekecewaan para penjaja dan pengunjung yang bersiap sedia untuk menyertai program ini.
“Namun, keputusan ini dibuat setelah meneliti pelbagai aspek teknikal dan logistik yang perlu ditangani terlebih dahulu,” ujar jurucakap BDA dalam kenyataan tersebut.
BDA dalam masa yang sama turut memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan memberi jaminan bahawa tarikh baharu bagi acara berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat, sebaik segala keperluan penganjuran dapat diselaraskan semula.
Dalam pada itu, para penjaja yang membuat pembayaran bagi permohonan lot jualan diminta hadir ke Kaunter Setempat, Pejabat PERBINDA bagi urusan pemulangan wang bermula 15 Julai, pada waktu pejabat.
Bagi melancarkan proses tersebut, penjaja diminta membawa dokumen sokongan seperti salinan nombor akaun bank, resit pembayaran asal dan salinan kad pengenalan.
Sebarang pertanyaan lanjut, boleh diajukan terus ke pejabat PERBINDA bagi mendapatkan maklumat tambahan berkaitan proses pemulangan bayaran.


