KUCHING: Sarawak tidak menolak kemungkinan membatalkan acara yang dirancang sekiranya keadaan jerebu terus bertambah buruk.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, antara acara yang mungkin terjejas termasuk Festival Borneo Jazz, Festival Muzik Borderland dan Regata Perahu Naga Antarabangsa.
Menurutnya, keputusan itu bergantung kepada keadaan jerebu yang dijangka berlarutan sehingga September.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Pelancaran Kalendar Festival What About Kuching (WAK) 2026 di pusat beli-belah The Spring, di sini, hari ini.
Abdul Karim turut berharap isu jerebu rentas sempadan yang berlaku setiap tahun dapat ditangani menerusi perbincangan antara negara jiran.
Mengulas kesan jerebu terhadap sektor pelancongan, Abdul Karim berkata keadaan itu bersifat sementara dan berharap situasi kembali pulih tidak lama lagi.
Sementara itu, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) setakat jam 1 petang semalam merekodkan 193 di Serian, diikuti Kuching (190), Sri Aman (178), Samarahan (173), Sarikei (153) dan Sibu (108).



