SEMPENA sambutan Aidilfi tri yang bakal tiba, Kuching bakal dimeriahkan dengan acara istimewa — Sekoh Raya: Tang Raya Jak Siya di The Hills.
Acara ini berlangsung bermula 14 Mac lalu hingga akhir Ramadan, menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk bazar raya, persembahan seni, serta pameran koleksi baju raya eksklusif.
Majlis perasmian diadakan Ahad lalu, dengan satu tayangan eksklusif yang pasti mencuri perhatian — muzik video Riuh Raya hasil gabungan tiga nama besar dalam industri muzik tempatan, iaitu Arabyrd, Ila Damiaa, dan penyanyi serta pelakon veteran Sarawak, Safar Ghafar.
GABUNGAN GENERASI DALAM RIUH RAYA
Lagu Riuh Raya merupakan sebuah projek khas yang mengangkat semangat perayaan dengan menyatukan elemen lama dan baharu.
Arabyrd, sebagai pencetus idea, berkongsi matlamat utama lagu ini adalah untuk memberikan perasaan feel good kepada pendengar tanpa bergantung pada trend tular atau sampel lagu lama.
“Saya, Ila, dan Safar mahu mencipta sesuatu yang original dan segar. Kami cuba menghantar lagu ini ke Universal Music Malaysia dan mereka menerima serta memberi sokongan penuh.
“Menariknya, daripada penciptaan lagu hingga kepada penghasilan muzik video, semua yang terlibat merupakan bakat kelahiran Sarawak.
Lagu ini diterbitkan oleh penyanyi rap dan penerbit muda, Emansushii, manakala muzik videonya diarahkan oleh Koh Khai, seorang pengarah berbakat besar,” ujarnya kepada Suara Sarawak.
Malah, muzik video Riuh Raya bukan sekadar menampilkan tiga penyanyi utama, tetapi turut melibatkan lebih 20 artis dan pempengaruh tempatan.
Antaranya Rifdean Masdor (atlet Muay Thai), Bob Yunus (penyanyi), Sharifah Elya (pengacara radio CATS FM), Asyraf Hardy (penyanyi rap), Thorus (pempengaruh), Dayang Mariana (Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak), serta ramai lagi.
Selain itu, katanya, projek ini turut mendapat sokongan penuh Majlis Seni Sarawak (MSS) serta pelbagai penaja seperti Kek Lapis Mama Su, Swinburne Sarawak dan Sarawak Metro.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut,hubungi Video Muzik ‘Riuh Raya’ di talian Nur Syafi q (011-3181 8690) / Latep R (017- 228 1378); Acara Sekoh Raya: SyedApiez (014-999 2890).



